Anda di sini

Kelayakan Dr Ting dilucut

Advertisement
 Asfia (bawah kiri) mendengar usul daripada Soon Koh (atas kanan) sebelum meluluskan usul untuk membatalkan kelayakan Dr Ting (atas kiri) sebagai ADUN Pujut.
HANGAT: Asfia (bawah kiri) mendengar usul daripada Soon Koh (atas kanan) sebelum meluluskan usul untuk membatalkan kelayakan Dr Ting (atas kiri) sebagai ADUN Pujut.

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak semalam memutuskan Dr Ting Tiong Choon bukan lagi Ahli DUN Pujut apabila 70 ahlinya mengundi untuk menyokong usul pembatalan kelayakan wakil rakyat Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu.

Usul tersebut dibentangkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan Dato Sri Wong Soon Koh menerusi persidangan DUN terhadap Dr Ting daripada DAP yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 7 Mei 2016.

Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar ketika mengumumkan keputusan undian terhadap keputusan yang dipercayai pertama seumpamanya di Malaysia berkata, kelayakan Dr Ting hilang apabila ia menerima cuma 10 undi daripada ahli-ahli DUN parti pembangkang.

“Saya dengan ini mengisytiharkan usul kementerian menerusi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan Dato Sri Wong Soon Koh diluluskan.

“Yang Berhormat bagi Pujut adalah tidak layak di bawah Artikel 17 (1) (g) Perlembagaan Sarawak untuk menjadi seorang ADUN serta-merta,” tegasnya.

Soon Koh ketika membawa usul itu berkata, Dr Ting tidak layak menjadi ADUN kerana mempunyai dua kewarganegaraan iaitu Malaysia dan Australia.

Soon Koh turut mendakwa mempunyai bukti Dr Ting adalah pengundi berdaftar di Australia dan melanggar peraturan kerana tidak memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai statusnya.

Di bawah Artikel 17 (1)(g) Perlembagaan Sarawak, seseorang ADUN, katanya, akan hilang kelayakan jika beliau secara sukarela memperoleh kewarganegaraan lain.

“Dr Ting mendapat kewarganegaraan Australia pada 20 Januari 2010 selain pernah diisytihar bankrap sebanyak dua kali di Australia pada 21 Jun dan 11 September 2012.

“Dr Ting tidak boleh lari daripada kenyataan bahawa beliau tidak layak untuk menjadi ADUN kerana telah terbukti bersalah di bawah Artikel 17 (1)(g) Perlembagaan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Dr Ting dalam bahas bagi mempertahankan dirinya berkata, semua tuduhan itu adalah tidak benar.

“Saya ada alasan yang kukuh mengapa saya menetap lama di Australia dan sebagai makluman ADUN Batu Kawa (Datuk Dr Sim Kui Hian) juga pernah menetap di sana, malah lebih lama daripada saya iaitu selama 17 tahun,” katanya.

Sementara itu, petisyen bantahan awal keputusan PRN bagi kerusi Pujut yang dimenangi Dr Ting pernah dikemukakan oleh calon langsung Barisan Nasional Datuk Hii King Chiong tahun lepas.

Namun, petisyen tersebut telah ditolak oleh Mahkamah Pilihan Raya atas dua alasan yang dibangkitkan semasa bantahan awal oleh peguam pihak responden iaitu Dr Ting.

Meskipun keputusan mahkamah memihak kepada Dr Ting, namun perkara itu menurut Asfia boleh dibawa ke DUN mengikut Artikel 19 Perlembagaan Sarawak untuk memutuskan isu yang dibangkitkan berhubung keahlian dewan.   

  • oleh
  • Advertisement