Anda di sini

Lambang politik matang

Advertisement

Pelantikan Abang Johari sebagai KM bersesuaian dengan pengalaman luas beliau dalam politik, pentadbiran negeri: Tun Taib

 Tun Taib diiringi Abang Johari bersalaman dengan ADUN sebelum sesi bergambar sempena Majlis Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Kedua DUN Sarawak Ke-18, semalam.
CERIA: Tun Taib diiringi Abang Johari bersalaman dengan ADUN sebelum sesi bergambar sempena Majlis Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Kedua DUN Sarawak Ke-18, semalam.

KUCHING: Pelantikan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg sebagai Ketua Menteri Sarawak yang keenam menggambarkan kematangan kepimpinan politik negeri dalam memastikan kestabilan politik berterusan di negeri ini.

Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, pelantikan Abang Johari bersesuaian dengan pengalamannya yang luas dalam politik dan pentadbiran Sarawak.

Setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Amar Abang Johari Tun Openg atas pelantikan beliau sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu menggantikan Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Saya percaya seluruh kepimpinan negeri akan terus memberi kerjasama dan sokongan padu kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri. Saya yakin dengan pengalaman beliau yang luas dalam politik dan pentadbiran, kestabilan politik serta kesinambungan pembangunan di negeri ini dapat diteruskan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-18 di DUN, semalam.

Persidangan yang bermula semalam hingga 22 Mei juga disifatkan istimewa kerana ia merupakan persidangan pertama buat Abang Johari sebagai Ketua Menteri.

Abang Johari dilantik sebagai Ketua Menteri pada 13 Januari 2017 menggantikan Allahyarham Adenan yang meninggal dunia 11 Januari 2017 akibat komplikasi jantung.

Pemilihan Abang Johari sebagai Ketua Menteri dibuat berdasarkan kaedah kaukus seperti termaktub dalam Perlembagaan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Tun Taib juga meluahkan rasa gembira kerana Abang Johari mempunyai hubungan baik dengan kepimpinan di peringkat kerajaan persekutuan.

Hubungan baik itu, katanya, akan memudahkan kerajaan negeri bekerjasama lebih rapat dan menerima sokongan padu daripada kerajaan persekutuan dalam merancang dan melaksana agenda pembangunan Sarawak.

Saya yakin hubungan baik ini akan memberi lebih ruang kepada beliau untuk meneruskan usaha memperjuangkan hak serta kepentingan Sarawak di peringkat persekutuan.

Saya percaya di bawah kepimpinan beliau masa depan Sarawak akan terus berkembang maju dan makmur,” katanya.

Tun Taib berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin dan mendahulukan kepentingan rakyat dalam setiap rancangan pembangunan seperti Pelan Transformasi Sosio Ekonomi (SETP), Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan Pelan Ekonomi Digital.

Beliau berkata, program transformasi kerajaan negeri mempunyai pelan jangka masa panjang sehingga 2030 dan disusuli pelan tindakan strategik komprehensif untuk memastikan ekonomi Sarawak berada di landasan tepat.

Menerusi penubuhan tiga Jawatankuasa Kabinet iaitu Transformasi Sosioekonomi, Transformasi Luar Bandar dan Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan akan memastikan segala inisiatif dalam program transformasi kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan jayanya, tambah beliau.

Tun Taib turut mengalu-alukan langkah kerajaan negeri melaksanakan beberapa inisiatif baharu dalam pembangunan ekonomi antara pelaksanaan pembangunan ekonomi digital.

Penerokaan ekonomi digital, katanya, akan menjadi sumber pertumbuhan ekonomi baharu untuk Sarawak yang sudah tentu akan membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda khasnya untuk turut serta dalam perniagaan bentuk baharu seperti e-perdagangan dan e-pembelajaran.

Dalam usaha kita untuk terus bersaing di peringkat antarabangsa, kita harus memodenkan ekonomi negeri dengan mempertingkatkan pelaburan termasuklah dalam ekonomi digital,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement