Anda di sini

Kerusi DUN Pujut kini kosong

Advertisement

KUCHING: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini meluluskan usul Barisan Nasional (BN) untuk membatalkan kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut. 

Usul dicadangkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan, Dato Sri Wong Soon Koh dan diluluskan oleh Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar. 

Sebanyak 70 undi diterima daripada ahli dewan yang memihak kepada usul ini dengan hanya 10 undi menolak diterima. 

"Usul diluluskan dan ahli yang berhormat bagi Pujut adalah tidak layak dibawah Artikel 17 (1) (g) Perlembagaan Sarawak untuk menjadi seorang ADUN serta merta," tegas Asfia.

 Dr Ting (duduk tengah) kecewa dengan keputusan Speaker DUN meluluskan usul bagi membatalkan kelayakanya sebagai ADUN Pujut hari ini. Turut kelihatan Pengerusi DAP Negeri, Chong Chieng Jen (kiri), Pengerusi PKR Negeri, Baru Bian (kanan) serta pemimpin pembangkang yang lain.
KECEWA: Dr Ting (duduk tengah) kecewa dengan keputusan Speaker DUN meluluskan usul bagi membatalkan kelayakanya sebagai ADUN Pujut hari ini. Turut kelihatan Pengerusi DAP Negeri, Chong Chieng Jen (kiri), Pengerusi PKR Negeri, Baru Bian (kanan) serta pemimpin pembangkang yang lain.

Terdahulu, Soon Koh yang juga Menteri Mewangan Kedua dalam usulnya berkata Dr Ting tidak layak menjadi ADUN kerana mempunyai dua kewarganegaraan iaitu Malaysia dan Australia. 

Soon Koh turut mendakwa mempunyai bukti bahawa Dr Ting adalah pengundi berdaftar di Australia dan melanggar peraturan kerana tidak memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai statusnya.

Di bawah Artikel 17 (1)(g) Perlembagaan Sarawak seseorang ADUN katanya akan hilang kelayakan jika beliau secara sukarela memperoleh kewarganegaraan lain.

"Dr Ting mendapat kewarnegaraan Australia pada 20 Januari 2010 dan selain pernah diisytihar bankrup sebanyak dua kali di Australia pada 21 Jun dan 11 September 2012. 

"Dr Ting tidak boleh lari dari kenyataan bahawa beliau tidak layak untuk menjadi ADUN kerana telah berbukti bersalah dibawah Artikel 17 (1)(g) Perlembagaan Sarawak," katanya. 

Sementara itu, Dr Ting dalam bahas bagi mempertahankan dirinya berkata semua tuduhan oleh BN adalah tidak benar. 

Tegasnya, semua tuduhan ini adalah dari sumber yang tidak tepat dan beliau percaya ia adalah dari lawannya yang bertanding di kerusi yang sama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 7 Mei 2016. 

"Saya ada alasan untuk menetap lama di Australia dan bukan saya sahaja yang menetap di sana tetapi juga ADUN Batu Kawa yang mana lebih lama iaitu selama 17 tahun. 

"Saya di sini berkhidmat untuk rakyat di negeri ini dan bukan sahaja di Pujut," tegasnya lagi yang ternyata tidak berpuas hati dengan tuduhan itu. 

  • oleh
  • Advertisement