Anda di sini

Penyediaan kemudahan kenderaan elektrik diteliti

Advertisement
 Abang Johari semasa lawatan ke bilik pameran Perodua selepas majlis perasmian pembukaan sambil diperhatikan Donald (dua kanan) dan Zahari (tiga kanan).
TERBAIK: Abang Johari semasa lawatan ke bilik pameran Perodua selepas majlis perasmian pembukaan sambil diperhatikan Donald (dua kanan) dan Zahari (tiga kanan).
__alt__

Masih di peringkat perbincangan, memerlukan nasihat atau panduan daripada pakar dalam perkara itu

KOTA SAMARAHAN:  Sarawak berkemungkinan meneliti untuk menyediakan infrastruktur kemudahan kenderaan elektrik di negeri ini dengan perkhidmatan bas sebagai perintis.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, bagaimanapun perkara itu masih di peringkat perbincangan dan memerlukan nasihat atau panduan daripada pakar dalam perkara itu.

Saya dan Tan Sri Datuk Amar James Masing (juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan) merancang menyediakan infrastruktur kereta elektrik.

Ia mungkin kemudahan tiang yang mempunyai adapter bagi mengecas bateri (elektrik) kenderaan dan mungkin menjadikan bas sebagai yang pertama dalam menggunakan elektrik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan premis Bilik Pameran Perodua MD Worlds Sdn Bhd yang dihadiri Masing, Pengerusi Kumpulan Syarikat MD Donald Lawan dan Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Datuk Dr Zahari Husin di Campus Hub di sini, semalam.

Tambah Abang Johari, beliau tidak menafikan kemungkinan ada di kalangan syarikat pengangkutan bas tidak bersetuju dengan perkara itu, tetapi Sarawak tidak boleh mengelakkan daripada teknologi terkini termasuk pengangkutan.

Beliau berkata dalam tempoh 10 hingga 15 tahun perubahan dalam pengangkutan akan berlaku di mana ia menggunakan elektrik dan sebagainya bagi menggantikan minyak dengan enjin menggunakan elektrik iaitu bateri.

Semua ini bukan sahaja menjadikan sesebuah tempat itu bebas asap atau mengelakkan pencemaran udara tetapi saya percaya trend pelanggan atau pembeli kereta yang berubah.

Maka itu kita perlu selari dengan perkara berkenaan di mana kita mungkin boleh menyediakan pusat atau stesen perkhidmatan di mana bateri boleh dicaj melalui elektrik.

Tambahan Empangan Hidroelektrik Bakun kini sudah dimiliki oleh kita dan kemungkinan kita akan menggunakan kuasa elektrik yang ada dengan kegunaan kemudahaan berkenaan,” tegasnya.

Abang Johari menambah, pengeluar kereta Malaysia sehubungan itu perlu mempertimbangkan perkara berkenaan agar Malaysia amnya dan Sarawak khasnya tidak ketinggalan di belakang daripada aspek teknologi kenderaan.

Pada sidang media selepas itu, beliau yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi berharap akan diberi masa untuk meneliti kemungkinan menyediakan kemudahan kenderaan elektrik.

Kita tahu mungkin sebagai permulaan ia memakan kos yang tinggi tetapi apabila kita sudah ada kemudahan pastinya kita akan mengkaji tarif kadar berkenaan, yang akan menyaksikan kos lebih rendah,” katanya.

Mengulas mengenai pembukaan bilik pameran Perodua oleh MD Worlds, Abang Johari berkata, ia satu langkah yang amat dialu-alukan terutama di kalangan ahli perniagaan Bumiputera.

Saya melihat ini adalah satu kejayaan daripada usahawan Bumiputera iaitu Donald, yang harus dicontohi yang lain.

Beliau bukan sahaja menjalankan perniagaan berasaskan automobil tetapi juga kini dalam pembangunan hartanah di mana beliau turut bekerjasama dengan usahawan bukan Bumiputera,” katanya.

Beliau memberitahu, usahawan Bumiputera juga perlu menjalin kerjasama dengan bukan Bumiputera tetapi dengan cara yang sama-sama memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak.

  • oleh
  • Advertisement