Anda di sini

Pendaftaran sekolah agama persendirian akan dipercepatkan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan bekerjasama dengan Jabatan Perdana Menteri bagi mempercepatkan pendaftaran sekolah agama persendirian termasuk madrasah dan tahfiz.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perbincangan akan diadakan pihaknya bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam masa terdekat.

Selepas 1 Mei ini saya akan duduk bersama Datuk Seri Jamil Khir... kita akan bincang  bagaimana nak percepatkan dari segi pendaftaran sekolah-sekolah ini.

Kerajaan juga tak bercadang untuk menutup sekolah tahfiz dan madrasah seperti yang dicadangkan pihak tertentu... itu tak akan berlaku,” katanya selepas menyempurnakan majlis perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 (PBAKL17) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran merangkap Pengerusi Majlis Buku Kebangsaan Malaysia Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof dan Pengerusi Dewan Industri Buku Malaysia Ishak Hamzah.

Khamis lalu, Mahdzir mengumumkan sekolah aliran agama persendirian itu akan didaftar di bawah Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) dalam masa terdekat.

Langkah itu sejajar program Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) yang dicadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lalu.

Mahdzir berkata pendaftaran juga membolehkan pemantauan sekolah-sekolah diadakan agar mematuhi prosedur yang digariskan kementerian.

Sementara itu, Khair berkata PBAKL17 dianjurkan KPM melalui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia yang akan berlangsung selama 10 hari bermula semalam  menyasarkan kehadiran 2.5 juta pengunjung.

Program siri ke-36 ini disertai 304 pempamer iaitu 276 pempamer tempatan dan 28 pempamer antarabangsa daripada beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Iran dan Mesir.

Program kali ini juga menghimpunkan 1,000 penulis dari seluruh Asia Tenggara buat pertama kali dan pengunjung juga dapat menikmati potongan harga buku sehingga 80 peratus,” katanya. — Bernama

Advertisement