Anda di sini

Penanaman jagung guna kaedah ‘Modul Dadong’ diperluas ke seluruh negara

Advertisement

KEMAMAN: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan memperluaskan projek tanaman jagung bijirin ke beberapa negeri termasuk Sabah dan Sarawak dengan mengguna pakai kaedah tanaman berasaskan ‘Modul Dadong’.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata menerusi kajian yang telah dilaksanakan, modul tersebut didapati menghasilkan kualiti jagung bijirin lebih baik berbanding bahan makanan itu yang diimport.

Beliau berkata, sekiranya pengeluarannya memberangsangkan, jagung bijirin boleh diisytiharkan sebagai tanaman kedua negara selepas padi.

Saya menerima hasil kajian dilakukan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengenai jagung bijirin yang kita tanam di peringkat permulaan di Dadong, Kemaman dan Kedah.

Dulu kita anggap negara ini tidak sesuai untuk penanaman jagung bijirin kerana iklim lembap serta taburan hujan tinggi menyebabkan serangan makhluk perosak mengakibatkan eksotoksin yang tinggi dan dianggap berbahaya kepada haiwan ternakan yang memakannya, kata beliau.

Ahmad Shabery berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan Pejabat Lembaga Pertubuhan Peladang cawangan Kemaman semalam.

Beliau berkata susulan kajian itu juga mendapati jagung bijirin yang dihasilkan mempunyai kandungan  eksotoksin sangat rendah dan memiliki kandungan protein tinggi berbanding jagung import untuk makanan haiwan ternakan.

Katanya langkah memperkenal cara penanaman itu juga dapat mengurangkan kebergantungan terhadap makanan ternakan yang diimport, dan bagi mencapai hasrat tersebut pihaknya memerlukan komitmen lebih ramai pakar dalam meneroka kaedah penanaman jagung. — Bernama

Advertisement