Anda di sini

Pakatan Harapan di Sarawak perlu bersatu

Advertisement

Tidak perlu bertelingkah kedudukan kerusi ditandingi Pilihan Raya Umum tidak lama lagi
 

KUCHING: Pakatan Harapan di Sarawak perlu kekal kukuh dan bersatu dalam melihat gambaran untuk perubahan yang lebih besar, berbanding bertelingkah atas kedudukan serta kerusi ditandingi pada Pilihan Raya Umum tidak lama lagi.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Baru Bian berkata, pembangkang perlu dilihat sebagai bertanggunjawab dan boleh dipercayai serta menjadi alternatif baik kepada kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Saya tahu di Sarawak, ia merupakan satu cabaran besar. Kita berjuang dalam pertempuran yang sukar dalam pilihan raya tahun lepas, tetapi tidak berjaya menambah kerusi dan ramai ahli dan yang bertanding dalam pilihan raya mengalami keletihan pilihan raya dan perasaan kecewa.

Namun mesej saya kepada anda, rakan-rakan seperjuangan saya, adalah kita telah mencapai banyak untuk Sarawak, lebih daripada anda fikirkan,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Keadilan Negeri Sarawak 2017 di sini, semalam.

Hadir sama, Wakil Majlis Pemimpinan Pusat (MPP) PKR Hee Loy Sian, Naib Pengerusi PKR Sarawak See Chee How dan Ali Biju, pengerusi penganjur Majlis Konvensyen Negeri 2017 Willie Mongin, Pengerusi PKR Miri Dr Michael Teo, Naib Ketua Wanita Pusat Noor Sham Abu Samah dan Voon Shiak Ni.

Baru yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan berkata, bukan sekadar jumlah kerusi yang dipegang diambil kira tetapi perkara-perkara diperjuangkan serta mesej yang terus diulangi kini didengari oleh kerajaan BN Sarawak.

Menurutnya, Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengangkat banyak perkara diperjuangkan dan Ketua Menteri semasa Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg terus melakukan perkara sama.

Sebagai contoh, seruan kami untuk pengiktirafan sebagai rakan kongsi sama di Malaysia, desakan untuk mempunyai agama rasmi dan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi, permintaan untuk autonomi, peningkatan royalti minyak, pemulihan hak wilayah, pemansuhan dasar kabotaj dan Borneonisasi perkhidmatan awam diterima pakai oleh kerajaan negeri dan sedang dilanjutkan dengan Putrajaya.

Baru-baru ini, wakil-wakil BN di Sarawak juga secara terbuka mengkritik kerajaan di mana diperlukan,” katanya.

Beliau menambah, perkara-perkara itu dalam 10 tahun lalu seolah-olah kelihatan tidak mungkin namun hasil kegigihan pembangkang, Sarawak kini mempunyai suara lebih besar dan kedengaran di Putrajaya.

Jika objektif kita adalah untuk memperbaiki kehidupan rakyat dan memperjuangkan hak-hak kita, tidak kisah siapa yang mendapat kredit.

Jika Sarawak diberi pengiktirafan yang sewajarnya dan bahagian sumber-sumber negara ini, maka semua orang mendapat faedah,” katanya.

Baru berkata, bagaimanapun ia bukan bermakna segala-galanya adalah cerah meskipun telah mencapai beberapa kemajuan apabila rakyat di Sarawak masih berjuang untuk mempunyai sekolah-sekolah yang lebih baik serta kemudahan asas.

Katanya, hospital dan klinik juga tidak mencukupi, terutama di kawasan luar bandar selain kos sara hidup semakin meningkat namun gaji kekal sama dan juga terus dibelenggu gejala sosial apabila kerajaan mengumumkan bahawa hampir 25 peratus pelajar di utara Sarawak didapati positif dadah.

Sarawak banyak ketinggalan dalam kemajuan dan pembangunan dan banyak perkara yang perlu kita kejar,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement