Anda di sini

NGO disaran aktif atur program, aktiviti untuk disertai anak muda

Advertisement

LUNDU: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disaran bergiat aktif dalam merencanakan program dan aktiviti untuk disertai anak-anak muda, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri.

Menurutnya, dengan adanya penganjuran aktiviti bersifat kemasyarakatan, ia dapat memupuk semangat kesukarelaan, semangat saling bantu membantu dalam acara keramaian dan semangat bekerjasama.

Program seumpama itu juga memberi pengalaman kepada anak-anak pada usia muda ini untuk melihat bagaimana mereka dapat memainkan peranan sebagai rakyat negara ini.

Ini penting kerana merekalah yang akan menjadi pemimpin pada masa depan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perkhemahan Kampung Stoh, di sini semalam.

Katanya Ahli Parlimen Batang Sadong itu, pengisian yang diatur dalam penganjuran program juga haruslah memberi pendedahan kepada peserta khususnya mengenai perkhidmatan yang dibawakan dan manfaat untuk setiap rakyat.

Mengenai program perkhemahan itu, jelas Nancy, ia merupakan idea dan usaha murni isteri bekas Yang di-Pertua Negeri Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah bagi mengumpulkan anak-anak penghuni dari Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah, Batu 12 Kuching dan Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol, Sri Aman.

Kita  berharap anak-anak ini dapat mengambil kesempatan yang ada untuk menjalani aktiviti luar (outdoor) dalam suasana yang berbeza.

Secara tidak langsung program ini dapat memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara ini lebih-lebih lagi dalam kalangan anak-anak muda ini kerana mereka berpeluang melihat bagaimana agensi-agensi kerajaan menjalankan peranan demi kesejahteraan rakyat menerusi aktiviti sampingan yang diadakan sepanjang perkhemahan ini,” jelasnya.

Selain perkhemahan, aktiviti sampingan lain yang turut diadakan ialah pameran, pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan gigi, aktiviti futsal, ‘campfire’ dan banyak lagi.

Program itu turut dianjur dengan kerjasama Trefoil Guild Girl Guide Sarawak (TGGG) serta pihak Angkatan Tentera Malaysia.

Turut hadir bekas Yang di-Pertua Negeri Tun  Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin, Brigedier Jeneral Datuk Subari Tomo dan Pengerusi Pengelola Perkhemahan Stoh selaku Penasihat Guild Trefoil Pandu Puteri Datin Dayang Mariani Abang Zen.

Advertisement