Anda di sini

Kerjasama pertingkat pelancong ke Sarawak

Advertisement
 Lee (dua kiri) menerima cenderamata daripada Julaihi (tiga kiri) pada Forum Pelancongan di Miri semalam.
FORUM PELANCONGAN: Lee (dua kiri) menerima cenderamata daripada Julaihi (tiga kiri) pada Forum Pelancongan di Miri semalam.

K’jaan bermesyuarat dengan Singapura, Brunei, cadangkan inisiatif bagi kepentingan bersama 

MIRI: Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak bekerjasama erat dengan Singapura dan Brunei Darussalam bagi mempertingkatkan kemasukan pelancong ke Sarawak tahun ini.

Menteri Muda Pelancongan Datuk Lee Kim Shin berkata pihaknya mengadakan mesyuarat dua hala dengan kedua-dua negara tersebut dan mencadangkan pelbagai inisiatif bagi kepentingan semua pihak.

Sekarang fokus kita menembusi pasaran pelancongan di negara China yang kebanyakan warganegara mereka kerap datang ke Singapura untuk melancong.

Dari situ, kita bercadang mewujudkan ‘Singapura-Sarawak Package’ di mana Singapura membantu kita mempromosikan keunikan Sarawak di mata pelawat yang mengunjungi negara tersebut,” katanya pada Forum Pelancongan di sini semalam.

Lee berkata perbincangan dengan pengendali penerbangan Singapura, Silk Air juga dibuat bagi meminta mereka menjadualkan penerbangan ke Kuching atau bandar lain di Sarawak pada hujung minggu.

Warga Singapura yang ingin lari daripada kesesakan kota raya, boleh memilih ke Sarawak pada hujung minggu dan menikmati pelbagai keindahan alam di negeri ini,” katanya.

Lee menambah, Brunei pula begitu dekat dengan Sarawak terutama Miri, turut sama memberi peluang menarik pelancong luar negara terutama dari China ke negeri ini.

Brunei merupakan laluan yang sesuai bagi membawa pelancong ke negara tersebut untuk turut melawat ke Miri menggunakan jalan darat.

Hasrat ini juga dibincangkan bersama Brunei Tourism Board dan Sarawak Tourism Board sentiasa mengemas kini dengan kerajaan Brunei agar inisiatif itu tercapai,” katanya.

Menurutnya, Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg meluluskan peruntukan RM1.2 juta bagi menaik taraf Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sungai Tujuh.

Buat masa sekarang, proses menaik taraf jalan satu lorong kepada dua lorong giat dijalankan.

Turut dinaik taraf adalah memasang papan tanda LED dan lampu jalan sepanjang CIQ Sungai Tujuh,” katanya sambil memberitahu, semua projek itu dijangka siap pertengahan Jun tahun ini.

Seramai 170 wakil berkepentingan industri pelancongan antaranya pengusaha hotel, pengangkutan, agensi pelancongan dan pengusaha pelancongan menyertai forum itu.

Hasil perbincangan dan maklum balas forum tersebut dikumpul dan kemudian diserahkan kepada Ketua Menteri bagi tindakan lanjut untuk mempertingkat industri pelancongan negeri ini.

Turut hadir pengerusi pengelola Forum Pelancongan Kaunselor Ernest Goh, Timbalan Datuk Bandar Miri Julaihi Mohamad, wakil Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Diana Corazon Bukau dan Timbalan Dekan Fakulti Perniagaan, Curtin University Malaysia Dr Paulin Ho.

  • oleh
  • Advertisement