Anda di sini

Guru, PIBG perlu peka persekitaran sekolah

Advertisement
 Mahdzir membantu membentuk adunan muruku ketika melawat ruang pameran sempena Program Guru Bersama Pemimpin dan Masyarakat Peringkat Negeri Sembilan di Sekolah Menengah Za’aba dekat Kuala Pilah, semalam. Turut kelihatan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan negeri Datuk Shamsulkahar Mohd Deli (tengah). — Gambar Bernama
TUNJUK BAKAT: Mahdzir membantu membentuk adunan muruku ketika melawat ruang pameran sempena Program Guru Bersama Pemimpin dan Masyarakat Peringkat Negeri Sembilan di Sekolah Menengah Za’aba dekat Kuala Pilah, semalam. Turut kelihatan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Kesihatan negeri Datuk Shamsulkahar Mohd Deli (tengah). — Gambar Bernama

Masyarakat akan menuding jari walaupun insiden bukan tanggungjawab kementerian

KUALA PILAH: Guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu lebih peka dan sensitif terhadap keadaan persekitaran di sekolah masing-masing bagi membendung gejala salah laku dalam kalangan pelajar termasuk penyalahgunaan dadah dan gengsterisme.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, langkah itu penting bagi mengelak pihak sekolah dipersalahkan sepenuhnya jika berlaku sesuatu insiden dan menjadi tular di media sosial sehingga menyebabkan masyarakat menuding jari kepada sistem pendidikan negara.

Insiden yang berlaku di (pekan Nilai Lama) Negeri Sembilan misalnya, dan suasana di sekitar kita mudah menjadi tular. Insiden seumpama itu walaupun bukan di bawah tanggungjawab kementerian, apabila berlaku masyarakat akan  menuding jari kepada sistem pendidikan negara.

Insiden-insiden lain, kita juga kena ambil sedikit sebanyak tanggungjawab walaupun bukan sepenuhnya di bawah tanggungjawab kita,” katanya ketika merasmikan Program Guru Bersama Masyarakat peringkat Negeri Sembilan di Sekolah Menengah Kebangsaan Za’’ba di sini, semalam.

Kelmarin, media melaporkan mengenai kes seorang pelajar lelaki dipaksa minum sejenis cecair dipercayai racun oleh sekumpulan pelajar dalam kejadian di pekan Nilai Lama pada Rabu lepas.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata pihaknya tidak akan mengambil tindakan lain sekiranya insiden melibatkan pelajar sekolah sudah menjadi kes polis.

Biar polis buat siasatan dan ambil tindakan. Kita menyokong sebarang tindakan apabila sesuatu kes (berkaitan pelajar) menjadi kes polis.

Saya tidak mahu ada dalam kalangan kita terpaksa bertanggungjawab kepada kes yang telah menjadi kes jenayah. Sebab itu kita kena sensitif terhadap persekitaran kita,” katanya.

Pada sidang media kemudian, mengenai pelajar yang dipaksa minum sejenis cecair dipercayai racun, Mahdzir berkata setakat ini, kementerian belum menerima laporan rasmi berhubung kes berkenaan. — Bernama

Advertisement