Anda di sini

Syarikat pembinaan wajib lantik pegawai 3S di tapak binaan

Advertisement

TAWAU: Syarikat pembinaan yang mengendalikan projek bernilai lebih RM20 juta wajib melantik sekurang-kurangnya seorang penyelia keselamatan tapak binaan (3S)  bagi memantau aspek keselamatan projek berkenaan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan dan Keselamatan (DOSH) di bawah kementeriannya mempunyai kuasa untuk memberi notis dan menghentikan pekerjaan di tapak binaan sekiranya didapati syarikat pembinaan gagal melantik pegawai 3S dan mengabaikan keselamatan dan kesihatan pekerja.

“Baru-baru ini, DOSH bertindak menghentikan dua projek pembinaan masing-masing di Kuala Lumpur dan Melaka kerana gagal melantik pegawai 3S selain mengabaikan aspek keselamatan.

“Pemberhentian ini sudah tentu akan merugikan syarikat kerana tempoh projek diberhentikan akan mengambil masa enam bulan atau sehingga pihak DOSH berpuas hati dengan langkah-langkah keselamatan dan kesihatan yang diambil syarikat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan pejabat Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) di sini, semalam.

NIOSH Tawau merupakan pejabat keempat yang dibuka di Sabah selepas di Kota Kinabalu, Labuan serta Sandakan manakala yang ke-14 di seluruh Malaysia dan sebuah lagi pejabat dalam perancangan di buka di Serian, Sarawak.

Hadir sama pada perasmian itu, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan dan Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye.

Sementara itu, Richard mahu pemain industri yang terlibat dalam sektor pertanian dan pembalakan di negara ini melaksanakan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) yang baik, bagi membantu mengurangkan jumlah kemalangan di tempat kerja.

“Berdasarkan statistik latihan yang disediakan oleh NIOSH, penyertaan majikan dan pekerja dari sektor-sektor ini masih berada di tahap rendah sedangkan sektor ini penting dan antara penyumbang utama ekonomi terutamanya di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Katanya, berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dilaporkan jumlah kemalangan sepanjang tahun 2011 sehingga 2016 melibatkan sektor pertanian dan perhutanan di Malaysia masing-masing merekodkan 8,405 kes dan 1,899 kes.

Dalam pada itu, PERKESO turut merekodkan 721 pekerja terlibat dalam kemalangan maut manakala 49,430 pekerja kehilangan upaya di seluruh negara  sekali gus sebanyak RM2.948 bilion wang pampasan dari PERKESO diserahkan kepada pewaris. — Bernama

Advertisement