Anda di sini

Maut rempuh jentolak

Advertisement
 Motosikal mangsa yang merempuh sebuah jentolak di Jalan Rangau,  malam kelmarin.
MAUT: Motosikal mangsa yang merempuh sebuah jentolak di Jalan Rangau, malam kelmarin.

LIMBANG: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggang bersama seorang lagi rakan merempuh sebuah jentolak diletak di tepi Jalan Rangau menuju Lapangan Terbang Limbang di sini malam kelmarin.

Mangsa Muhammad Syazwan Mahadi, 19, dan rakannya Abu Khair Usop, 14, mengalami kecederaan parah dalam kemalangan yang berlaku jam 8.30 malam dan dikejar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun Muhammad Syazwan meninggal dunia jam 3 pagi semalam manakala Abu Khair koma dan masih dirawat di Hospital Limbang.

Abang kembar Muhammad Syazwan, Muhammad Safwan, 19, yang menunggang motosikal berasingan hanya mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan itu.

Difahamkan lokasi kejadian agak gelap menyebabkan mangsa tidak menyedari jentolak diletakkan di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai mengesahkan kejadian itu dan menambah, kes akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam kes berasingan seorang pemandu lelaki mengalami kecederaan di bahagian kaki selepas kereta dipandu terbabas dan merempuh sebuah lagi kereta parkir di halaman rumah dalam kemalangan berhampiran Kampung Lubuk dekat sini pagi semalam.

Mangsa Ryan Soong Tek Yong berjaya dikeluar anggota bomba yang bergegas ke lokasi kejadian jauhnya kurang dua kilometer dari balai sebaik menerima panggilan jam 3.40 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang Tawang Lingem berkata seramai tujuh anggotanya membabitkan dua kenderaan bomba bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 3.40 pagi.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dari kenderaan dan dihantar oleh unit EMRS ke Hospital Limbang untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

 Mayat Joiney yang dijumpai tertiarap di atas tanah berlumpur.
DIHEMPAP POKOK: Mayat Joiney yang dijumpai tertiarap di atas tanah berlumpur.

Sementara itu seorang lelaki warga Filipina maut dipercayai dihempap pokok yang baharu ditebangnya di sebuah kem pembalakan di Jalan Kubong tengah hari kelmarin.

Mangsa Joiney Carbosa, 46, bersama rakannya melakukan kerja menebang pokok di kem terbabit pada jam 8 pagi.

Mohd Bukhori berkata selepas berhenti makan sekitar jam 12 tengah hari, rakannya cuba mencari mangsa dan mendapati mangsa tertiarap di atas tanah berlumpur di bawah dahan pokok yang baharu ditebangnya.

“Sebaik menyedari mangsa tidak lagi bernyawa, rakannya melaporkan kejadian itu kepada penyelia kem.

“Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Mohd Bukhori berkata mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Limbang pada 2 petang kelmarin untuk bedah siasat.

  • oleh
  • Advertisement