Anda di sini

Lelaki dipenjara tujuh bulan kerana pindahkan harta curi

Advertisement

MIRI:Gara-gara memindahkan harta curi, seorang bapa dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret petang semalam.

Hukuman itu dijatuhkanMajistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Mohd Faizim Jonie, 29, dari Kampung Desa Jaya Batu 8 1/2 Lambir telah didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi tujuh tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh dengan sengaja telah memindahkan harta curi iaitu sebuah motosikal berkuasa tinggi dengan nombor pendaftaran QMJ94xx kepunyaan Franz Luitpold Hermann.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8 malam, pada bulan September 2016 di sebuah rumah di Jalan Lautan 1 Ocean Park di sini.

Sementara di mahkamah sama, tertuduh didenda RM2,000 atau tiga bulan penjara kerana kesalahan menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine yang didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta yang sama.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati telah menggunakan dadah jenis Methamphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952 dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh  sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 11.50 pagi, 4 November 2016 di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Miri.

Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.

Advertisement