Anda di sini

S’wak ikat The Red Warriors

Advertisement
 Pemain Sarawak, Demerson Bruno Costa (kiri) dihalang penjaga gol Kelantan, Mohd Ramdhan Abdul Hamid pada perlawanan Liga Super 2017 di Stadium Negeri, Kuching malam tadi. — Gambar Bernama
HALANG: Pemain Sarawak, Demerson Bruno Costa (kiri) dihalang penjaga gol Kelantan, Mohd Ramdhan Abdul Hamid pada perlawanan Liga Super 2017 di Stadium Negeri, Kuching malam tadi. — Gambar Bernama

Skuad David catat keputusan seri tanpa jaringan pada aksi Liga Super menentang Kelantan

KUCHING: Sarawak dan Kelantan berkongsi satu mata setelah terikat dengan kedudukan 0-0 pada perlawanan ke-11 saingan Liga Super 2017 di Stadium Negeri di sini malam tadi.

 Bagaimanapun, Sarawak memulakan perlawanan agak baik dengan melakukan serangan awal ke kubu Kelantan dan hampir-hampir memperolehi gol awal pada minit ke-17 menerusi tandukan Tommy Mawat namun sedikit tersasar.

 Bagaimanapun, Kelantan tampak berupaya mengimbangi perlawanan dengan melakukan serangan balas dan memperolehi sepakan percuma di luar kotak penalti Sarawak.

 Namun percubaan cantik dilakukan oleh Indra Putera Mahayuddin berjaya ditepis keluar penjaga gol Sarawak, Mohd Shahril Sa’ari.

 Sarawak terus menggasak dan giliran Shreen Tambi mendapat peluang terbaik pada minit ke-29 namun percubaannya melambung tinggi atas palang gawang Kelantan.

 Babak-babak akhir separuh masa pertama, Sarawak berjaya menguasai perlawanan dan minit ke-37 peluang terbaik diperolehi Abdul Rahim Abdul Razak namun rembatannya tersasar sedikit di pintu gol pasukan pelawat.

 Berakhir babak pertama perlawanan kedudukan kedua-dua pasukan masih terikat 0-0.

 Masa rehat lima belas minit di bilik persalinan digunakan sebaik-baiknya oleh pengendali Sarawak, David Usop menyuntik semangat perjuangan tinggi kepada anak-anak buahnya.

 Sebaik bermula babak kedua, skuad Ngap Sayot terus melakukan serangan demi serangan dan memperolehi peluang keemasan pada minit ke-53 menerusi Tommy namun percubaannya terkena tiang justeru disambar Mateo Roskam tetapi berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol Kelantan.

 Minit ke-58, Sarawak mengeluarkan Shreen dan memasukkan pemain import Mark Andrew Hartmann bagi mempertajam jentera serangannya.

 Masuk minit ke-60 perlawanan semakin rancak dengan kedua-dua pasukan berbalas serangan dan Sarawak memperolehi peluang terbaik pada minit ke-63 menerusi Mateo namun rembatannya mudah ditangkap kemas penjaga gawang Kelantan, Mohd Ramdhan Abdul Hamid.

 Dalam keghairahan keduadua pasukan memburu gol bagi memecah kebuntuan jaringan, pemain Kelantan Mohd Abdul Aziz Ismail dilayangkan kad kuning pada minit ke-66 setelah mengasari Abdul Rahim.

 Sepuluh minit sebelum tamat babak kedua, Sarawak sekali lagi melakukan pertukaran dengan memasukkan Mohd Hafiz Abu Bakar dan mengeluarkan Abdul Rahim.

 Pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria meniupkan penamat babak kedua dengan Sarawak dan Kelantan berkongsi satu mata setelah terikat 0-0.

  • oleh
  • Advertisement