Anda di sini

Polis kenal pasti sekolah ada masalah gengsterisme

Advertisement

KUANTAN: Polis telah mengenal pasti sekolah yang mempunyai masalah gengsterisme di seluruh negara dan tindakan segera akan diambil, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata arahan telah dikeluarkan kepada pegawai perhubungan sekolah supaya bekerjasama dengan guru disiplin khususnya, selepas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid memberi kelonggaran sepenuhnya kepada polis menjalankan siasatan di sekolah.

Katanya, sekolah yang terlibat dengan gengsterisme juga dinasihatkan untuk tidak menyembunyikan kegiatan itu daripada pengetahuan polis, sebaliknya perlu tampil ke hadapan supaya masalah terbabit boleh dibanteras di peringkat awal.

Kerjasama dengan Kementerian Pendidikan telah bermula khususnya di Selangor yang mana kita sedang mengumpul risikan dan maklumat berkaitan penuntut dan bekas penuntut yang terlibat. Guru-guru jangan simpan masalah ini, kalau diamkan, (ia) tidak membantu sesiapa.

Ibu bapa juga perlu awasi anak-anak mereka. Langkah mengatasinya perlu dilakukan sekarang supaya masalah ini tidak menjadi duri dalam daging dan mendatangkan lebih banyak masalah pada masa hadapan,” katanya.

Khalid berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas  Ketua Polis Pahang Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani yang bersara wajib kepada Datuk Rosli Ab Rahman di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang di sini, semalam.

Beliau memaklumkan setakat ini, sebanyak 35 pelajar  telah ditangkap berkaitan isu gengsterisme, iaitu kerana disyaki terlibat dengan kumpulan kongsi gelap Geng 24 di Selangor.

Khalid juga tidak menolak kemungkinan terdapat orang dewasa yang menjadi dalang dalam pembabitan pelajar berkenaan, selain persepsi silap pelajar itu sendiri yang merasakan mereka berkuasa jika menganggotai kumpulan kongsi gelap.

Pelajar ini cuba untuk menonjolkan identiti mereka dan mereka mengagung-agungkan rakan senior yang pernah ditangkap. Kita kena betulkan pemikiran mereka yang memandang tinggi kawan yang kononnya berkuasa,” katanya.

Khalid berkata, polis juga akan menjalin kerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah bagi mencari penyelesaian masalah itu. — Bernama

Advertisement