Anda di sini

Mandulkan anjing, kucing elak biak tanpa kawalan

Advertisement

KUCHING: Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang menyeru pemilik-pemilik anjing dan kucing supaya memandulkan haiwan peliharaan mereka itu bagi mengelak ia terus membiak tanpa kawalan.

Jelas beliau, ia kerana terdapat semakin banyak haiwan berkenaan yang berkeliaran di kawasan seliaan MPP, malah ada yang hidup liar tanpa pemilik.

Kami sering menerima aduan mengenai kehadiran anjing atau kucing berkeliaran di sesuatu kawasan, yang memerlukan kami untuk menangkapnya.

Ini boleh diatasi jika pemilik haiwan itu bertanggungjawab menjaganya atau paling bagus memandulkannya agar ia tidak membiak dan akhirnya mewujudkan anjing atau kucing liar,” katanya pada sidang media di ibu pejabat MPP dekat sini, semalam.

Menurut Lo, MPP menangkap sekurang-kurangnya 50 ekor anjing dan kucing sebulan dan kebanyakan yang berkeliaran adalah mempunyai pemilik kerana berada dalam kawasan perumahan.

Katanya bagi anjing dan kucing liar yang ditangkap, MPP sebelum ini telah menghantarnya kepada Persatuan Bagi Pencegahan Penganiayaan Terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA).

Bagaimanapun, katanya kini MPP berhadapan masalah untuk menghantar haiwan-haiwan tersebut ke SSPCA disebabkan kenaikan caj daripada RM30 kepada RM90 seekor selain bilangannya juga dihadkan kepada 15 ekor sebulan berbanding sebelumnya tiada had.

Misalnya kami menangkap 50 ekor anjing dan kucing tetapi dihadkan hanya 15 ekor untuk diterima oleh SSPCA, jadi bagaimana dengan yang lain dan caj yang dikenakan SSPCA juga meningkat kepada RM90 menyebabkan kami sukar untuk menampungnya.

Dengan itu, penyelesaian terbaik adalah melibatkan kerjasama orang ramai khususnya pemilik haiwan berkenaan supaya menjaga dengan baik atau memandulkan anjing atau kucing yang dipelihara mereka,” katanya.

Advertisement