Anda di sini

Kod baharu untuk tadbir urus korporat Malaysia

Advertisement
 Ranjit (tengah) bersama Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Amirsham Abd Aziz (kanan) pada majlis pelancaran ‘Malaysian Code On Corporate Governance’ di Suruhanjaya Sekuriti, Kuala Lumpur semalam. Turut kelihatan Pengerusi Majlis Pelabur Institusi Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad. — Gambar Bernama
DILANCAR: Ranjit (tengah) bersama Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Amirsham Abd Aziz (kanan) pada majlis pelancaran ‘Malaysian Code On Corporate Governance’ di Suruhanjaya Sekuriti, Kuala Lumpur semalam. Turut kelihatan Pengerusi Majlis Pelabur Institusi Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad. — Gambar Bernama

Perkukuh budaya korporat berdasar akauntabiliti, ketelusan

KUALA LUMPUR: Kod Tadbir Urus Koprorat Malaysia (MCCG) yang baharu adalah satu set amalan terbaik bagi mengukuhkan budaya korporat berdasarkan akauntabiliti dan ketelusan.

 Ketika mengeluarkan MCCG di sini semalam, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Tan Sri Ranjit Ajit berkata, ia menekankan budaya tadbir urus korporat dalam kalangan syarikat tersenarai serta entiti tidak tersenarai, termasuk syarikat milik kerajaan, perusahaan kecil dan sederhana dan pengantara berlesen.

 “Untuk syarikat dan negara menarik modal jangka panjang dalam pasaran global hari ini, perlu wujud pengaturan tadbir urus korporat berkualiti yang berkesan dan seiring dengan amalan terbaik antarabangsa.

 “Budaya korporat yang sihat berlandaskan akauntabiliti dan ketelusan adalah kunci untuk menghasilkan kejayaan perniagaan dan ekonomi jangka panjang, dan tanggungjawab ini terletak kepada lembaga,” katanya sebelum merasmikan pengeluaran MCCG tersebut.

 Ranjit berkata, kod baharu itu adalah peristiwa penting dalam usaha Malaysia mempromosi tadbir urus korporat yang baik bagi memastikan kemampanan dan daya tahan pasaran modal.

 Ia akan bertindak sebagai kompas kepada lembaga untuk memacu syarikat ke depan di samping meningkatkan pemahaman mengenai kepentingan tadbir urus korporat, tambahnya.

 Kod itu menyenaraikan 36 amalan yang menyokong tiga prinsip, iaitu kepemimpinan dan keberkesanan lembaga, audit berkesan, pengurusan risiko dan kawalan dalaman serta laporan korporat dan hubungan dengan pihak berkepentingan.

 Ia menggunakan pendekatan berbeza dan seimbang, yang memerlukan amalan tertentu dan jangkaan laporan untuk dilaksana hanya kepada syarikat 100 teratas FTSE Bursa dan mempunyai permodahalan pasaran RM2 bilion atau lebih.

 Ciri-ciri penting kod baharu itu termasuk pengenalan pendekatan ‘Faham, Laksana dan Lapor’ di samping peralihan daripada ‘patuh atau jelaskan’kepada ‘laksana atau jelaskan alternatif’, bertujuan menggalakkan syarikat tersenarai untuk memikir dan menimbang lebih mendalam apabila mengguna dan melapor amalan tadbir urus korporat mereka.

 Satu lagi dimensi baharu dalam kod itu ialah pengenalan amalan ‘Meningkatkan’ bagi menggalak syarikat berusaha lebih jauh dalam mencapai kecemerlangan korporat.

 MCCG baharu itu dihasilkan daripada kajian menyeluruh SC pada 2016, dengan mendapatkan input daripada pihak berkepentingan tempatan dan antarabangsa, meliputi pengajaran daripada kegagalan tadbir urus korporat yang lepas dan baru-baru ini dan perubahan dalam struktur pasaran serta keperluan perniagaan.

 Ia pertama kali diperkenal pada 2000 berikutan cadangan jawatankuasa kewangan peringkat tinggi pada tahun sebelum itu dan dikaji semula pada 2007 dan 2012.

 SC telah mengumumkan pelan strategik tiga tahun bagi meningkatkan keutamaan tadbir urus korporat, termasuk penubuhan Institut Pengarah Korporat Malaysia.

 Data besar dan keupayaan kecerdasan buatan akan diguna bagi mengukuhkan pengawasan korporat dan penguatkuasaan pelanggaran tadbir urus korporat, dan ia juga akan bekerjasama dengan peserta industri bagi menambah bilangan wanita di lembaga pengarah.

 — Bernama

Advertisement