Anda di sini

Belia digalak menjadikan pengadil bola sepak sebagai profesion utama

Advertisement

KUCHING: Golongan belia digalakkan menjadikan pengadil bola sepak sebagai profesion utama kerana ia boleh menjamin masa depan mereka.

 Pengerusi Pengadil Negeri Sarawak, Duke Janteng berkata golongan Y mempunyai masa depan cerah dalam profesion pengadil bola sepak kerana mereka boleh pergi lebih jauh jika menceburinya pada usia muda.

 Duke yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) berkata pihaknya melaksanakan beberapa inisiatif dalam usaha menarik minat golongan belia sekali gus mengikis anggapan profesion pengadil adalah pilihan kedua.

 “Untuk menarik minat golongan belia, kita memberi keistimewaan terutama kepada pengadil muda dengan menyediakan kursuskursus dan daya tarikan dari segi timbal balik kos yang mereka perolehi semula.

 “Contohnya, ketika ini kita menaikkan pembayaran pengadil peringkat negeri bagi menarik minat mereka dan perolehan pendapatan lebih tinggi di peringkat kebangsaan,” katanya pada majlis penyerahan tajaan dan lesen kepada pengadil Sarawak di Stadium Negeri, Petra Jaya di sini semalam.

 Hadir sama setiausaha agung merangkap Naib Presiden FAS Razali Dolhan, Setiausaha Persatuan Bola Sepak Bahagian Sibu (SFA), Kushairy Bujang dan wakil Lea Sports Centre (LSC).

 Menurut Duke, FAS juga bekerjasama dengan pihak persatuan pengadil bola sepak kebangsaan untuk memperbanyak kursus pengadil di Sarawak bagi memudahkan belia-belia mengikuti kursus tersebut.

 Tambahnya, pada bulan ini tiga kursus pengadil dilaksanakan di Serian, Sarikei dan Miri.

 Sehubungan itu, Duke merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap Presiden FAS, Datuk Posa Majais dan Razali kerana memberi kepercayaan kepadanya sebagai pengerusi pengadil negeri.

 Beliau turut mengucapkan terima kasih terhadap LSC atas sokongan menaja keperluan pengadil negeri.

 “Kita menyusun atur semua program dari program pembangunan kepada struktur baharu pengadil di Sarawak.

 “Pengadil di Sarawak dibahagikan kepada tiga zon, utara, tengah dan selatan bertujuan memantau perkembangan pengadil dan kemajuan mereka terutama jumlah pengadil aktif dan dapat diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

 “Kita tidak mahu pengadil menjalankan tugas sambil lewa, justeru kita meningkatkan prestasi pengadil dari semasa ke semasa,” katanya.

 Duke berkata, pihaknya memanggil balik beberapa pengadil berpengalaman membimbing pengadil baharu khususnya kalangan muda agar dapat melaksanakan tugas dengan baik dan beretika.

 Katanya, pengadil bertugas perlu menjalankan tanggungjawab berlandaskan peraturan ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam manamana pertandingan baik peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan.

 Sarawak ketika ini mempunyai seramai 480 pengadil seluruh negeri termasuk 12 mempunyai lesen peringkat kebangsaan.

Advertisement