Anda di sini

Syarikat pelaburan wajar contohi integriti PNB

Advertisement
 Ahmad Zahid (duduk kanan) beramah mesra dengan pelabur Yazid Ibrahim dan Zahari Razali ketika melawat pameran selepas menutup Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2017 di Dataran Temerloh, semalam. Turut hadir Adnan, Abdul Wahid serta Abdul Rahman. — Gambar Bernama
MESRA: Ahmad Zahid (duduk kanan) beramah mesra dengan pelabur Yazid Ibrahim dan Zahari Razali ketika melawat pameran selepas menutup Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2017 di Dataran Temerloh, semalam. Turut hadir Adnan, Abdul Wahid serta Abdul Rahman. — Gambar Bernama

TEMERLOH: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu organisasi pelaburan khususnya syarikat milik kerajaan (GLC) mencontohi Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang disifatkan sebagai ‘acuan terbaik’ organisasi pelaburan.

Beliau berkata, PNB adalah satu-satunya syarikat pelaburan yang diasaskan menerusi tajaan kerajaan sebanyak RM200 juta pada 1979 dan kini mempunyai aset pengurusan dan pelaburan bernilai RM266.5 bilion, yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana syarikat tajaan lain.

Katanya, kejayaan itu dipacu oleh integriti yang tinggi yang diterjemahkan secara profesional oleh pihak pengurusannya sejak di bawah pengerusi pertamanya, Tun Ismail Ali dan Ketua Eksekutif dan Pengurus Besar PNB pertama, Tan Sri Mohd Desa Pachi.

“Banyak syarikat yang diberi amanah oleh kerajaan menghadapi masalah besar kerana integriti  yang dikompromikan. Sebahagian daripada mereka telah mengkompromi integriti.

“Apabila ini terjadi, ertinya tatacara dalam pengendalian dan pengurusan syarikat telah disesuaikan atas kehendak peribadi, kepentingan sesuatu kelompok mengatasi kepentingan syarikat, tetapi tidak berlaku di PNB,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Penutup Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2017 di Dewan Tun Razak di sini semalam.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Pengerusi Kumpulan PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB Datuk Abdul Rahman Ahmad, Ketua Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.

Ahmad Zahid berkata kecekapan PNB juga boleh dilihat menerusi kemampuannya mengurus jumlah pelaburan, dana dan tabung yang semakin meningkat dengan menggunakan keupayaan sedia ada dan tidak perlu menambah jumlah kakitangan.

“Saya yakin organisasi lain apabila bertambah portfolio dan pelaburan, pasti berlaku pertambahan pertamanya, pada jumlah kakitangan dan keduanya pelaburan. Ini yang patut dicontohi dan saya teliti, tidak ada satu pun yang berjaya seperti PNB,” katanya.

Katanya beliau dan bekas Ketua Eksekutif PNB Tan Sri Khalid Ibrahim semasa lawatan ke sebuah negara yang agak besar pernah diminta untuk berkongsi ilmu bagaimana PNB boleh melakukan pengagihan dividen untuk mereka contohi.

“Apabila  saya dan Khalid memberikan  beberapa pendekatan, akhirnya sebuah permodalan terbentuk tetapi hanya bertahan selama lima tahun sahaja kerana penghayatan integriti tidak ada pada pemimpin.

“Ini tidak berlaku pada PNB kerana kita menumpukan kepada perniagaan teras mengagihkan kekayaan negara melalui kekayaan syarikat. Pada masa sama, kerajaan mempunyai keazaman politik yang sama sejak daripada pemimipin terdahulu sehingga kepada Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid juga memuji keupayaan PNB dalam menukar persepsi dan sikap rakyat Malaysia serta mewujudkan gelombang untuk menabung secara sukarela.

“Corak atau kaedah menyimpan secara sukarela rakyat Malaysia terlalu rendah. Tetapi gelombang PNB, berjaya mengubah tabiat ini kepada menyimpan secara sukarela kerana wujud kesedaran untuk memperoleh keuntungan.

“Kajian baharu menunjukkan sikap menyimpan rakyat kita adalah sebanyak 38 peratus yang merupakan satu pencapaian. Di negara maju, peratus mereka adalah 40 peratus. Kita hanya memerlukan dua peratus sahaja lagi (untuk berapa pada tahap yang sama).  “Saya percaya apabila ekonomi semakin kukuh dan kempen kesedaran dilakukan dengan baik, ia akan meningkatkan sikap menyimpan secara sukarela dan kita akan berada pada tahap seperti negara maju,” katanya.

Secara peribadi, katanya beliau melihat pulangan dividen kepada pemegang saham oleh PNB dan kumpulan syarikatnya sebagai ‘amat memberangsangkan’ sejak penubuhannya sehingga tiga bulan pertama tahun ini, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM157.5 bilion.

Ahmad Zahid yang pernah berkhidmat di PNB di bawah Skim Amanah Saham Nasional (ASN) bermula 2 Julai 1979 hingga 2 Feb 1985, berkata beliau banyak belajar daripada pengalamannya di PNB walaupun dalam tempoh singkat.

Menyifatkan Ismail sebagai seorang ketua yang menggariskan kaedah dan teori pengurusan baharu, ‘management by fear’, Ahmad Zahid berkata peneraju pertama PNB itu amat dihormati kerana sering menggunakan kata-kata yang menggerunkan walaupun seorang yang ‘soft spoken’.

“Beliau (Ismail) katakan sebuah organisasi yang menjadi kepercayaan rakyat jangan pernah dikompromikan dari segi integriti. Walaupun tempoh saya singkat, namun saya menggunakan kaedah pengurusan beliau sehingga sekarang,” katanya.

Beliau turut memuji penganjuran MSAM 2017 yang berjaya menarik seramai 183,426 pengunjung sejak lima hari lalu, melebihi sasaran awal 150,000 orang. — Bernama

Advertisement