Anda di sini

Program kongsi ilmu keselamatan kebakaran di Rh Iran

Advertisement
 Para peserta mendengar taklimat mengenai keselamatan kebakaran baru-baru ini.
FOKUS: Para peserta mendengar taklimat mengenai keselamatan kebakaran baru-baru ini.

KESELAMATAN kebakaran merupakan satu kemahiran penting khususnya di kalangan masyarakat luar bandar dan pedalaman sebagai persediaan jika berhadapan dengan insiden kebakaran.

Menyedari hakikat itu, Program Bomba Komuniti Peringkat Parlimen Sri Aman diadakan baru-baru ini di Rh Iran, Sungai Besai Ulu di Pantu yang disertai seramai 95 peserta yang terdiri daripada sembilan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang.

Objektif program yang kali kedua dijalankan di kawasan ini adalah untuk meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat di kawasan pedalaman yang jauh dari Balai Bomba dan Penyelamat agar mempunyai ‘sense of urgency’ dalam tindakan awal dengan keyakinan melalui latihan dilalui.

Program itu menggunakan khidmat penceramah dan jurulatih berpengalaman dari BBP Sri Aman, diketuai ketuanya, William Baheng selain Jilin Itar Chimian Duyu, Alban Gayanm Freddy John, Karl Elliot, Ferry Chan Chung Phing dan Sharuul Azlan.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Tiga (Sri Aman) Nik Muhammad Afiq Nik Roslan turut melahirkan rasa terharu dengan sambutan menggalakkan yang diterima daripada penduduk rumah panjang.

“Sambutan yang sangat baik ini disebabkan usaha pegawai dari BBP Sri Aman merangka aktiviti dengan kerjasama wakil rakyat berdasarkan kehendak rakyat yang memerlukan latihan dalam keselamatan kebakaran,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan program tersebut.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri Dato Masir Kujat atas sumbangan sebanyak 22 unit Alat Pemadam Api sebagai pengwujudan ‘fire point’ di rumah panjang yang menyertai program serta pembiayaan program.

Program yang telah dilaksanakan sebanyak dua kali di kawasan ini turut merekodkan sebanyak 15 JKKK rumah panjang berdaftar sebagai pasukan Bomba Komuniti serta diikuti seramai 181 ahli Bomba Komuniti.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan Datuk Mong Dagang.

  • oleh
  • Advertisement