Anda di sini

Pemangkin Hulu Rajang

Advertisement
 Abang Johari melihat pelan-pelan pembangunan Kapit semasa menghadiri Pameran Pembangunan Bahagian Kapit, petang semalam. Turut kelihatan (dari kanan) Alexander, Uggah dan Masing.
TINJAU: Abang Johari melihat pelan-pelan pembangunan Kapit semasa menghadiri Pameran Pembangunan Bahagian Kapit, petang semalam. Turut kelihatan (dari kanan) Alexander, Uggah dan Masing.

KAPIT: Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA) telah ditubuhkan bagi membangunkan bahagian Kapit.

Ini diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg ketika melawat Pameran Pembangunan Bahagian Kapit di Dewan Suarah Kapit, petang semalam.

Bercakap pada sidang media selepas mendengar taklimat semasa pameran tersebut, Abang Johari berkata URDA akan merangkumi kawasan kira-kira 38,000 kilometer persegi atau persamaan satu pertiga daripada keluasan Sarawak yang meliputi seluruh bahagian Kapit, Katibas dan beberapa kawasan Bintulu.

“URDA ini adalah di bawah RECODA sepertimana ia membangunkan kawasan wilayah SCORE.

“Dengan ini, saya mengumumkan bahawa URDA akan dipengerusikan oleh Tan Sri Dr James Masing dan Timbalannya ialah Datuk Alexander Nanta Linggi,” ujarnya.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri Dr Datuk Amar James Masing, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi, Menteri Kemudahan Awam Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom serta menteri-menteri kabinet.

Abang Johari berkata, bahagian Kapit atau kawasan hulu Rajang mempunyai potensi untuk dibangunkan misalnya berkaitan dengan kuasa elektrik menerusi pembinaan Empangan Murum dan Baleh selain sektor pertanian.

Dengan adanya URDA kelak, jelasnya, ia akan memudahkan dana disalur untuk tujuan sebarang pembangunan di kawasan tersebut.

“Selain itu, ia juga akan memudahkan kita membuat perancangan yang sistematik terhadap pembangunan di kawasan ini.

“Segala rancangan transformasi luar bandar juga boleh disertakan melalui kementerian berkenaan untuk memperkasakan pembangunan di sini menerusi URDA,” ujarnya lagi.

Menurutnya, setiap pembangunan menerusi URDA juga perlu dilengkapi dengan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), bekalan asas dan infrastruktur bagi memberi manfaat kepada penduduk setempat.

“Dengan tertubuhnya URDA, ia pasti akan membawa manfaat kepada rakyat Kapit termasuk Katibas.

“Ia bakal lebih rancak apabila projek jalan raya yang menghubungkan Kapit dan Song dengan dunia luar siap tidak lama lagi,” tegasnya.

Abang Johari memberi jaminan beliau akan bekerja rapat dengan URDA bagi memastikan pelaksanaan pembangunan di sini dapat dijalankan dengan sebaik mungkin.

“URDA ini bakal mengubah wajah kawasan hulu Rajang. Justeru, penubuhannya amat relevan lebih-lebih lagi Kapit akan dihubungkan dengan jaringan jalan raya.

“Lebih bermakna lagi apabila sosioekonomi penduduk dapat dipertingkatkan melalui URDA,” tambahnya.

  • oleh
  • Advertisement