Anda di sini

Pantau pergerakan anak-anak remaja secara berterusan: Kurup

Advertisement
 Kurup bersama Noraini, guru-guru dan pemimpin masyarakat bergambar bersama-sama dengan pelajar yang mengikuti bengkel itu di dewan SK Sook.
BENGKEL: Kurup bersama Noraini, guru-guru dan pemimpin masyarakat bergambar bersama-sama dengan pelajar yang mengikuti bengkel itu di dewan SK Sook.

KENINGAU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta seluruh anggota pemimpin masyarakat perlu sentiasa memantau perilaku dan gelagat anak-anak remaja secara berterusan agar mereka tidak terpengaruh dengan fahaman negatif yang mengelirukan termasuk fahaman Islamic State (IS).

“Sebagai pemimpin dan pendidik, kita mempunyai peranan yang luas dalam membendung apa jua pengaruh dan fahaman sempit dalam kalangan generasi muda khususnya anak-anak kita yang telah tamat persekolahan mahupun yang sedang mencari pekerjaan,” katanya ketika berucap merasmikan satu majlis di SMK Keningau, di sini, Ahad lepas.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, program itu adalah bagi menunjukkan komitmen ahli PIBG khususnya di kawasan Parlimen Pensiangan demi kepentingan anak-anak memastikan mereka mendapat pendidikan yang terbaik dan menjadi insan cemerlang pada masa hadapan.

Pada majlis itu, Kurup telah menyampaikan sebanyak 49,020 naskah akhbar Tutor kepada 4,085 pelajar membabitkan sebanyak 46 sekolah di Daerah Keningau dan 31 sekolah di Daerah Nabawan.

“Kita memerlukan generasi yang berpendidikan kerana selaras dengan kemajuan teknologi yang semakin pesat membangun, kita tidak mahu anak bangsa di kawasan ini ketinggalan dalam aspek pendidikan.

“Selaku wakil rakyat di kawasan ini, saya merasa bertanggungjawab dan terpanggil untuk bersama-sama berperanan dan menyumbang supaya anak-anak kita dibantu sebanyak mungkin dalam bidang pendidikan.

“Saya sendiri amat mementingkan pencapaian pendidikan anak-anak bangsa kita kerana mereka yang berada di hadapan kita inilah yang menjadi orang penting dalam menerajui negara pada masa akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden PBRS Arthur Kurup, Ketua Penerangan Pertubuhan Kelahiran Murut Pribumi Sabah (Borneo) Dr Joseph Lakai, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Perakaunan dan Ketua Program Pemasaran Universiti Malaysia Sabah Dr Oswald Aisat Igau, Pegawai Pendidikan Daerah Nabawan Saibeh Abdul Sani dan Pengetua Ahmud Saribin.

Sementara itu, ketika merasmikan Bengkel Transformasi Koperasi Sekolah di Dewan SK Sook, Kurup berkata koperasi sekolah digalak untuk merebut peluang serta aktif menjana pendapatan, sekali gus menyumbang kepada kejayaan sekolah.

Walaupun koperasi menunjukkan pencapaian yang membanggakan, katanya, namun prinsip asas kewujudan koperasi sekolah hendaklah dipatuhi iaitu menjual barang-barang keperluan kepada pelajar pada harga yang lebih murah daripada harga pasaran.

Beliau berharap pelajar yang terdidik melalui koperasi akan menjadi generasi bermoral tinggi, berdikari dan mempunyai daya kepimpinan tinggi dan dalam masa yang sama berupaya mengamalkan prinsip bantu diri dan mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan mereka.

Katanya koperasi sekolah juga berkeupayaan untuk mendidik para pelajar literasi kewangan dan diharapkan dapat melahirkan generasi muda yang berhemah tinggi dalam menguruskan perbelanjaan dan penyimpanan.

“Pencapaian akademik semata-mata tidak menjamin para pelajar menjadi manusia yang berjaya. Mereka memerlukan satu tempat untuk mengaplikasikan teori yang dipelajari dalam bentuk latihan bagi mendapatkan pengalaman,” katanya.

Hadir sama Timbalan Presiden PBRS Arthur Kurup, Pengerusi Perhubungan Angkasa Negeri Sabah Datuk Noraini Datuk Seri Panglima Saleh dan pemimpin masyarakat setempat.

Advertisement