Anda di sini

Malaysia, Kanada perkukuh kerjasama banteras ancaman keganasan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Kanada bersetuju untuk terus memperkukuh dan menyelaras industri pertahanan, kerjasama antara tentera kedua-dua pihak, dan dalam hal kepentingan strategik bagi membanteras ancaman keganasan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata sekalipun tugas memantau militan Daesh terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri, kementeriannya juga bertanggungjawab bila ia melibatkan kegiatan militan. 

“Mesyuarat ini begitu komprehensif dan bermakna. Kami berbincang mengenai perkara penting pertahanan, termasuk langkah memperkukuh hubungan dan strategi ketenteraan.

“Malaysia juga memang ingin bekerjasama dengan Kanada dalam mendepani dan mencari penyelesaian terhadap ancaman baharu (terrorisme) yang kita hadapi hari ini,” kata beliau.

Hishammuddin becakap kepada pemberita selepas menerima kunjungan rakan sejawatannya dari Kanada Harjit Singh Sajjan di Wisma Kementerian Pertahanan di sini semalam. 

Hishammuddin berkata mereka turut membincangkan isu geoplolitik, isu bilateral, serantau dan antarabangsa yang berkaitan kepentingan bersama.

“Kita akan juga memantau situasi geopolitik dalam bidang pertahanan bersama menerusi kontak yang dicapai sebelum ini,” kata beliau.

Turut hadir ketua setiausaha kementerian Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Terdahulu, Harjit Singh memeriksa Perbarisan Kehormat Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja  (RAMD) terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota pelbagai pangkat, diketuai Major Shah Putra Junui.

 Sementara itu, Harjit Singh menyambut baik penubuhan Pusat Keamanan Antarbangsa Raja Salman (KSCIP), sambil menyifatkannya sebagai cara terbaik untuk berkongsi pengetahuan dan menjadi lebih proaktif.

“Latihan tentera yang kita adakan sebelum ini dan ia sentiasa menjadi keperluan agar  dapat menangani ancaman keganasan,” kata beliau. 

KSCIP, inisiatif Raja Arab Saudi Raja Salman Abdul Aziz Al Saud, tidak sahaja memfokus kepada aspek ketenteraan tetapi juga elemen akademik.

Peranan utamanya ialah membanteras ancaman pengganas dan penyebaran dakyah dan ideologi golongan ekstremis dan pengganas. — Bernama

Advertisement