Anda di sini

Dadah: Pemandu lori didenda RM2,000, empat bulan penjara

Advertisement

MIRI: Seorang pemandu lori didenda RM2,000 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini pagi semalam kerana kesalahan menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama tempoh dua tahun.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Sherrin Dearnley, 40, dari Tudan Fasa 4 di sini didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ABD) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini tertuduh boleh didenda RM5,000 atau penjara dua tahun dan dikehendaki serta-merta menjalani pengawasan selama tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun di bawah Seksyen 38B ADB 1952.

Menurut keterangan kes, tertuduh didapati menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine terkandung dalam Jadual Pertama ADB 1952 dengan memasukkan dadah ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu jam 11.40 pagi, pada 31 Januari tahun ini di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor manakala tertuduh tidak diwakili.

Advertisement