Anda di sini

Sokongan SME Corp wujud jaringan inovasi peringkat akar umbi

Advertisement
 Madius (lima kiri) merakamkan gambar kenangan bersama pemenang setiap kategori yang dipertandingkan.
PEMENANG: Madius (lima kiri) merakamkan gambar kenangan bersama pemenang setiap kategori yang dipertandingkan.

KOTA KINABALU: Sokongan SME Corp sebagai agensi pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) adalah usaha mewujudkan jaringan inovasi di peringkat akar umbi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata sokongan berkenaan adalah berterusan sehingga inovasi itu dapat direalisasikan kepada bentuk produk atau perkhidmatan yang berupaya dimajukan dan dipasarkan.

Ini adalah usaha SME Corp dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) bagi menjayakan inisiatif Inovasi Inklusif melalui Program Berimpak Tinggi Enam (HIP6) selama tiga tahun sejak 2015.

Langkah yang dilaksanakan oleh YIM secara kolaborasi dengan SME Corp serta pihak lain yang berkepentingan adalah satu strategi yang terbaik dalam membangun dan mencungkil hasil inovasi secara inklusif.

Seterusnya, bergerak seiring dengan wawasan negara dalam menuju teras-teras yang digariskan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada tahun 2050,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Cabaran Inovasi Inklusif 2017 Zon Sabah, di sini, kelmarin.

Madius berkata pertandingan itu pastinya akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia mengetengahkan idea dan kreativiti yang dicerna sehingga kepada peringkat penghasilan produk.

Ini membuktikan bahawa inovasi mampu melahirkan penyelesaian kepada berbagai jenis permasalah yang dihadapi dalam kerja seharian kita.

Di samping itu, inovasi juga mampu meningkatkan lagi nilai tambah kepada kualiti dan produktiviti hasil.

Perubahan ini hanya boleh dimaterialisasi apabila kita memberi peluang kepada diri sendiri untuk menganjakkan paradigma lama kepada pendekatan penyelesaian yang lebih kontemporari dan sesuai dengan keperluan semasa,” katanya.

Tambahnya Mosti melalui YIM juga sentiasa berusaha untuk memperkasakan inovasi akar umbi melalui program Mengarusperdanakan Inovasi Akar Umbi (Magris).

Hasil daripada program ini juga satu lagi kisah kejayaan inovasi Kumpulan D’Banana Craft telah diperoleh.

Kumpulan ini adalah salah satu pemenang geran pembangunan program Magris 2016 yang mana mereka menghasilkan inovasi mengitar semula pulpa batang pisang untuk membuat kertas.

D’Banana Craft juga telah dianugerahkan geran pengkomersilan bernilai RM100,000 pada tahun 2017 ini untuk digunakan bagi menyempurnakan sistem proses dan perniagaan berkenaan,” tambahnya.

Menurut Madius di atas inisiatif yang membanggakan itu, ketua kumpulan Asmawati Afsah Anifiah dilantik sebagai Duta Magris bagi sesi 2017 hingga 2018.

Turut hadir di majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif YIM Tany Anthony Kiob.

Advertisement