Anda di sini

Piala 1 KDN: Skuad AADK terus cemerlang

Advertisement

KUCHING: Skuad AADK terus cemerlang mengekalkan momentum kemenangan keempat berturut-turut dalam saingan kempen Piala 1 KDN.

 Kemenangan 3-1 ketika bertemu APMM memberi keyakinan kepada skuad AADK untuk memburu kejuaraan.

 Pengurus pasukan AADK, Hamzie Saroji berpuas hati dengan prestasi pasukan kerana meneruskan momentum cemerlang.

 Menurutnya, semua pemain wajar menerima pujian selepas berjaya membantu pasukan memungut tiga mata berharga sekali gus menjarakkan mereka daripada pesaing terdekat.

 “Satu kelegaan kepada saya apabila pemain-pemain berjaya bangkit daripada ketinggalan gol awal pasukan APMM.

 “Kebangkitan skuad AADK hasil jaringan pemain berpengalaman, Adenan Gani yang bijak meloloskan diri daripada kawalan di depan gawang APMM untuk menjaringkan gol penyamaan,” katanya.

 Hamzie berkata, jaringan tersebut nyata memberi tonik kepada skuad AADK terus melancarkan serangan bertali arus.

 Pemain lincah, Hamzah Mohamad memberi kelebihan kepada AADK pada separuh masa pertama apabila berjaya menjaringkan gol kedua.

 Bersambung babak kedua, AADK dan APMM saling berbalas serangan dan lorongan bijak Atiq memastikan Naza Sulaiman muncul wira pasukan AADK dengan sentuhan penyudah yang hebat menjaringkan gol ketiga bagi menyentap semangat skuad APMM.

 Saingan semakin menarik mengambil kira kemenangan dicatat beberapa pasukan pilihan.

 Sementara itu, pasukan PSSTLDM sekadar mencatat keputusan seri 2-2 dengan skuad RELA Sarawak.

 Perlawanan berlangsung di permukaan padang becak tidak memberi masalah kepada kedua-dua pasukan mempamerkan aksi menarik sepanjang perlawanan.

 PSSTLDM seakan-akan hilang arah apabila RELA Sarawak bangkit menjaringkan dua gol meskipun pada awalnya ketinggalan 0-1.

 Bagaimanapun, kebangkitan saat akhir PSSTLDM menyamakan kedudukan 2-2 sudah terlambat malah terpaksa menelan hakikat berkongsi satu mata dengan RELA Sarawak.

Advertisement