Anda di sini

Nelayan diminta elak terjebak aktiviti bom ikan

Advertisement
 Yahya (enam kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada bekas Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan Kota Kinabalu.
SIJIL: Yahya (enam kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada bekas Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan Kota Kinabalu.

PUTATAN: Golongan nelayan di negeri ini diingatkan supaya tidak terlibat sama sekali dalam aktiviti pengeboman ikan yang menjadi perosak kepada habitat hidupan laut.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Yahya Hussin berkata, hal itu amat penting bagi melahirkan nelayan moden yang mempraktikkan kaedah penangkapan baharu dan tepat yang tidak memberi kesan kepada alam semula jadi, khususnya hidupan di dasar laut.

Kita mahu menjadikan negeri ini mempunyai nelayan profesional yang bukan hanya sekadar menjalankan aktiviti penangkapan ikan tetapi turut mementingkan pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah alam terutamanya laut kita.

Tiada guna sekiranya kita ada persatuan nelayan jika bekalan ikan kita semakin hari semakin berkurang ekoran masih ada pihak yang hanya mementingkan diri cuba merosakkan hidupan laut yang menjadi sumber rezeki para nelayan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-13 Persatuan Nelayan Kawasan Kota Kinabalu, di sini, kelmarin.

Sehubungan itu, Yahya menggesa masyarakat khususnya para nelayan yang berdaftar supaya memberi kerjasama melaporkan kepada pihak berkenaan sekiranya mendapati masih ada nelayan yang tidak bertanggunjawab menjalankan kegiatan haram sedemikian.

Beliau juga mengingatkan golongan nelayan agar tidak bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan semata-mata tetapi perlu melipatgandakan usaha untuk meningkatkan pendapatan masing-masing.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Kota Kinabalu (PNK KK) Datuk Arsit Sedi berkata pihaknya kini dalam usaha mewujudkan kawasan kampung nelayan yang dikenali ‘Hijrah Park’ di Kampung Onggon, Manggatal.

Katanya, kawasan yang mempunyai keluasan lebih 380 hektar daripada tanah gazet kerajaan itu dijangka akan dimulakan pada bila-bila masa sahaja.

Jelasnya Hijrah Park bakal menyediakan pelbagai prasarana dan aktiviti misalnya pemeliharaan ikan, agro pelancongan serta perkhidmatan inap desa.

Advertisement