Anda di sini

Guna psikologi, bukan kekerasan

Advertisement

Guru perlu bijak menangani pelajar yang mempunyai masalah disiplin

SEMPORNA: Pelajar yang mempunyai masalah disiplin perlu dididik menggunakan pendekatan psikologi dan bukan bertindak menggunakan kekerasan terhadap pelajar terbabit, kata Pengerusi Persatuan Kaunseling Sabah Mohd Syam Mohd Muksan.

Beliau berkata justeru, guru yang berhadapan dengan pelajar yang bermasalah perlu bijak menangani perkara itu dengan merujuk pelajar berkenaan kepada guru kaunseling sekolah.

Merujuk kepada kaunseling bukan untuk menyelesaikan masalah pelajar tersebut tetapi membantu mendidik dan membimbing pelajar supaya bertanggungjawab terhadap segala tindakan yang dilakukannya serta dapat berhadapan dengan masalah dirinya melalui formula hasil kaunseling,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden seorang murid lelaki tahun dua yang cedera di kepala sehingga menerima lapan jahitan selepas terkena kerusi kayu yang dibaling guru di sebuah sekolah di Penampang, Kota Kinabalu baru-baru ini.

Guru terbabit dilaporkan ingin membaling kerusi kepada seorang pelajar lain kerana membuat bising di dalam kelasnya dan pelajar itu tidak mengendahkan arahannya serta melarikan diri ketika dihampiri, berikutan itu guru berkenaan membaling kerusi namun terkena kepada mangsa.

Tegas kepada pelajar perlu namun tindakan sehingga mendatangkan kecederaan pelajar itu adalah tidak wajar dan sebab itu pendekatan memberi kaunseling itu paling sesuai,” kata Mohd Syam.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan supaya guru besar dan pengetua sekolah yang mengesan guru yang memiliki prestasi tidak baik seperti jarang datang ke sekolah, tidak masuk kelas dan gagal menggalas kerja yang diberikan agar dirujuk kepada pegawai kaunseling di Unit Keutuhan dan Psikologi Kaunseling di Jabatan Pelajaran.

Pengetua dan guru besar boleh memanggil mereka dahulu untuk mendengar permasalahan mereka dan memberi nasihat tetapi sekiranya guru-guru ini masih bermasalah boleh dirujuk kepada pegawai kaunseling yang turut ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” katanya lagi.

Menurutnya khidmat kaunseling kepada guru itu penting kerana guru juga tidak terlepas daripada gangguan emosi yang mungkin datang daripada faktor luar sehingga menjejaskan prestasi kerja dan menyebabkan tindakan diambil mereka terhadap pelajar berada di luar kawalan. — Bernama

Advertisement