Anda di sini

ECER tarik pelaburan swasta RM101.4 bilion

Advertisement

Wujud lebih 140,000 pekerjaan, bangunkan 24,000 usahawan mikro, kecil dan sederhana

KUALA LUMPUR: Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) berjaya menarik pelaburan swasta berjumlah RM101.4 bilion dan mewujudkan lebih 140,000 pekerjaan sehingga Disember tahun lepas sejak transformasi sosioekonomi pada 2008.

Wilayah ECER meliputi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor.

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berkata lebih 24,000 usahawan mikro, kecil dan sederhana turut dibangunkan melalui pelbagai programnya seperti ‘Empower ECER’, ‘Entrepreneur ECER’ dan ‘TERAJU@ECER’.

Golongan usahawan ini telah membantu meningkatkan ekonomi tempatan dengan menjana lebih 31,000 peluang pekerjaan.

Apa yang lebih membanggakan ialah kejayaan sebahagian daripada usahawan tersebut yang bermula dari peringkat mikro, kini berjaya menembusi pasaran antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John, berkata sejajar dengan Program Transformasi Kerajaan, peningkatan jaringan usahawan tempatan merupakan antara strategi utama ECERDC untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di Wilayah ECER.

Matlamat ini turut disokong oleh pelaksanaan projek infrastruktur strategik dan menarik pelaburan swasta untuk menjana lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan serta memberi limpahan sosioekonomi yang berterusan kepada rakyat tanpa mengira latar belakang dan kaum,” kata Issace.

Beliau berkata pada tahun lepas, sebanyak 20 syarikat tempatan telah meraih RM8.5 juta nilai kontrak untuk mengeksport produk mereka ke China pada program ‘Entrepreneur ECER’ yang diadakan di Nanning, China pada Pameran China-ASEAN.

Program Entrepreneur ECER juga berjaya meningkatkan pendapatan lebih 6,000 peserta kepada purata antara RM5,000 dan RM300,000 sebulan.

Bagi Empower ECER, katanya, tumpuan diberikan kepada kumpulan B40 supaya mereka mampu menjadi usahawan yang berdaya saing atau mendapat pekerjaan yang lebih baik dengan pendapatan lebih tinggi.

Kumpulan B40 termasuk ibu tunggal, graduan menganggur dan orang kelainan upaya dan program itu dilaksanakan untuk memberi kemahiran bernilai tinggi dan ilmu keusahawanan.

Sementara itu, bagi ‘TERAJU@ECER’, Issace berkata, sebanyak 157 projek Bumiputera mendapat manfaat daripada program itu dengan sumbangan pelaburan bernilai RM15.5 bilion dengan lebih 17,800 peluang pekerjaan.

Pencapaian ini mencerminkan peningkatan penyertaan Bumiputera dalam ECER, sejajar dengan dasar inklusif Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.

Transformasi tersebut telah memberi impak positif dan menggalakkan peserta melakar kejayaan yang lebih cemerlang dan menjadi inspirasi kepada rakyat ECER,” katanya.

Inisiatif ECERDC untuk memperkasa rakyat di Wilayah ECER telah mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila ia dicalonkan bagi Program Transformasi Ekonomi Terbaik oleh Jawatankuasa Anugerah Tadbir Urus Baik Global (3G) 2017.

Pencalonan bagi anugerah itu sendiri pada tahun ini sudah menjadi satu pencapaian berikutan hanya empat program transformasi ekonomi di seluruh dunia disenarai pendek oleh jawatankuasa pemilihan,” kata Issace.

Anugerah 3G, dianjurkan oleh sebuah pertubuhan di United Kingdom, Cambridge IF Analytica, dan diberikan kepada kerajaan, syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan atas kecemerlangan dalam ketelusan, tadbir urus yang baik dan tanggungjawab sosial. — Bernama

Advertisement