Anda di sini

7 Mei penentu nasib Macron, Le Pen

Advertisement

Pilihan raya presiden Perancis masuk pusingan kedua dalam pengundian sengit

 Kombinasi gambar menunjukkan Macron (kiri) di Parc des Expositions di Paris dan Le Pen di Henin-Beaumont, kelmarin. — Gambar AFP/Reuters
CABARAN SENGIT: Kombinasi gambar menunjukkan Macron (kiri) di Parc des Expositions di Paris dan Le Pen di Henin-Beaumont, kelmarin. — Gambar AFP/Reuters

PARIS: Pemimpin haluan tengah pro-Eropah Emmanuel Macron dan politikus antipendatang Marine Le Pen memulakan persaingan akhir untuk kerusi presiden Perancis semalam, selepas pusingan pertama pengundian memberi tamparan hebat kepada kelas politik tradisional.

Macron merupakan calon pilihan untuk menjadi presiden paling muda Perancis selepas menguasai kotak undi kelmarin dengan 23.75 peratus undi, berbanding 21.53 peratus yang diraih pemimpin Barisan Nasional (FN) Le Pen, menurut keputusan akhir.

Empat bulan dan sekali lagi hari ini saya mendengar keraguan, kemarahan dan kebimbangan rakyat Perancis.

Demikian juga keinginan mereka untuk perubahan,” kata Macron, 39, kepada ribuan penyokong di Paris kelmarin.

Beliau berikrar untuk menyatukan patriot di sebalik agendanya untuk merombak politik dan memodenkan negara berbanding Le Pen dan ancaman nasionalis tatkala para pemimpin arus perdana menggesa pengundi untuk menyokongnya dan memastikan kelompok kanan radikal menjauhi Istana Elysee.

Tinjauan mencadangkan bekas pegawai bank pelaburan itu akan mengatasi Le Pen dengan mudah dalam pusingan kedua pada 7 Mei, yang tidak akan memaparkan calon dari haluan kiri atau kanan tradisional buat kali pertama dalam sejarah enam dekad.

Meskipun berkhidmat sebagai menteri ekonomi dalam kerajaan sosialis Francois Hollande yang bakal berundur, Macron menyampaikan dirinya sebagai ‘orang luar’ yang baharu membentuk pergerakannya ‘En Marche!’ yang bermaksud ‘Anjakan’.

Cabarannya adalah untuk berpisah sepenuhnya daripada sistem yang gagal mendapatkan penyelesaian kepada masalah negara kita sejak lebih 30 tahun lalu,” tegas Macron yang sudahpun mengintai pilihan raya penting parlimen pada Jun.

Sepanjang kempen, Macron menegaskan Perancis berpendirian bertentangan apabila bersedia untuk melantik seorang liberal proglobalisasi tatkala nasionalis sayap kanan semakin meraih kelebihan di seluruh dunia, khususnya susulan pelantikan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) dan undian mengecewakan Britain untuk meninggalkan keanggotaannya dalam Kesatuan Eropah (EU).

Sementara itu, Le Pen yang semakin mengeraskan retorik antipendatang dan anti-Eropahnya sejak minggu lalu, menyanjungi undi bersejarah di hadapan para penyokongnya dan menyatakan peringkat pertama telah berlalu.

Le Pen menyusuli jejak langkah bapanya Jean-Marie, yang berjaya sampai ke pusingan kedua presiden pada 2002 sekali gus menggoncang senario politik Perancis.

Jean Marie bagaimanapun mengalami kekalahan teruk apabila parti-parti arus perdana berkomplot menyingkirkannya.

Meskipun Le Pen di belakang Macron, suasana tetap ceria semasa parti FN malam kelmarin di Henin-Beaumont, bekas bandar perlombongan arang batu di utara Perancis, dengan laungan lagu kebangsaan Marseillaise.

Meskipun Macron merancang untuk melancarkan semula ‘pembinaan’ Eropah, skor keseluruhan kelompok euroskeptik tegar Le Pen, politikus kiri radikal Jean-Luc Melenchon dan nasionalis Nicolas Dupont-Aignan mencecah 46 peratus.

Macron turut mendapat sokongan segera daripada pesaingnya yang kalah dari kelompok Sosialis dan Republikan.

Sosialis Benoit Hamon, yang meraih jumlah memalukan 6.35 peratus, menyatakan haluan kiri telah mengalami tamparan bersejarah namun menggesa pengundi agar menjauhi Le Pen yang digelar sebagai ‘musuh republik’ yang nyata. — AFP

Advertisement