Anda di sini

Noraniza Idris muncul dengan single ‘Wangikanlah Hatimu’

Advertisement

MIRI: Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris telah muncul dengan single terbaru bertajuk ‘Wangikanlah Hatimu’.

 Berkonsepkan Pop Etnik dan Tradisional yang menggabungkan elemen nyanyian Dikir Barat dan Siam serta Sunda, single tersebut menampilkan konsep duo dengan gabungan dua karakter vokal iaitu dari Noraniza Idris dan bekas peserta rancangan program realiti ‘3 Juara’, Tyka.

 Mengulas mengenai single tersebut, Noraniza Idris berkata proses persediaan lagu ‘Wangikanlah Hatimu’ ini sangat kemas dan tidak mengambil masa terlalu panjang untuk disiapkan.

 Sepanjang 2 bulan bermula daripada perbincangan dengan Amir Jahari, penyesuaian melodi telah dibuat mengikut keserasian vokal nyanyian dan karakter dalam lagu.

 Single Irama Malaysia ini adalah sebuah penerbitan pertama bagi Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd (NIPVSB) bagi tahun 2017.

 Lirik bagi karya ciptaan seorang komposer muda di bawah naungan Luncai Emas Sdn Bhd, Amir Jahari dan AGCoco ini telah ditulis oleh Ahmad Fetri Yahya.

 Lirik lagu ini mempunyai mesej berunsur nasihat dan ingatan.

 Setiap kejayaan datang dari hati yang bersih.

 Sikap menuding jari dan suka melihat kejatuhan orang lain menerusi kelemahan sebagai manusia yang tidak lari dari kesilapan daripada berusaha untuk memperbaiki diri sendiri hanya akan menjadi siasia.

 Hargai setiap ruang dan peluang yang diberi tanpa menambah kebencian orang lain adalah nilainilai murni yang dituntut.

 Bergantung bahu demi mencapai kejayaan bersama.

 Apa yang dimiliki di dunia ini hanyalah bersifat sementara.

 Setiap nafas kebaikan adalah jaminan syurga di dunia abadi.

 Lagu ini akan dipasarkan terus secara digital melalui saluran iTunes Store dan beberapa aplikasi streaming termasuk Spotify, Joox, Apple Musix, Yonder Music dan lainlain.

 Pembelian nada dering pemanggil turut tersedia di laman web kesemua syarikat telekomunikasi di negara ini.

 Majlis pelancaran single tersebut telah berlangsung di Restoran L’Clasico, Publika, Kuala Lumpur pada 21 Februari yang lalu.

 Seiring dengan pelancaran single ‘Wangikanlah Hatimu’, Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd juga telah menganjurkan kempen #saveiramamalaysia.

 Kempen ini bermula pada 15 Januari dan akan berakhir pada 31 Ogos 2018.

 Kempen #saveiramamalaysia adalah kempen bagi mendapatkan sokongan pelbagai pihak untuk mengangkat irama Malaysia ke tahap global tanpa menjejaskan keunikan dan keaslian irama ini menerusi pemantauan khusus untuk terus bersaing dalam industri muzik Malaysia.

 Kempen ini melibatkan inisiatif orang perseorangan dengan menghimpunkan seramai mungkin penggiatpenggiat seni irama budaya di bawah satu bumbung persatuan yang sedang ditubuhkan bagi mendapatkan kelulusan Registrar Of Society dinamakan Persatuan Penggiat Seni Irama Malaysia (IRAMA).

 Irama Malaysia perlukan pemantauan yang sewajarnya.

 Melibatkan sejarah penyelidikan menjurus kepada ilmiah untuk diturunkan kepada masyarakat pendengar sebagai satu rujukan di samping hiburan.

 Secara tidak langsung membantu sebagai pemangkin memperkenalkan produk Malaysia ke luar negara dengan lebih efektif dan meluas.

 Kempen ini turut mendapat sokongan dan kerjasama penaja yang sudi membiayai aktiviti secara turun padang yang diatur oleh pihak NIPVSB dalam siri jelajah Malaysia yang akan diumumkan pada majlis pelancaran kelak.

 Antara penaja terlibat adalah L’Clasico, Mewangi Satu Dunia dan Permata Saadah.

 Noraniza Idris tampil dengan single ‘Wangikanlah Hatimu’ bersama Tyka.
SINGLE TERBARU: Noraniza Idris tampil dengan single ‘Wangikanlah Hatimu’ bersama Tyka.
  • oleh
  • Advertisement