Anda di sini

Go Auto dan Great Wall labur RM2 bilion

Advertisement

Mengukuhkan kedudukan sebagai hab SUV buatan China di Malaysia dan ASEAN

SHANGHAI: Go Auto Group of Companies (Go Auto) dan rakan niaganya dari China, Great Wall Motors Company Ltd (GWM) telah memperuntukkan pelaburan RM2 bilion sehingga tahun 2021 bagi mempertingkatkan operasi kilang pemasangan dan pengeluarannya di Gurun, Kedah.

 Ini sekali gus dapat mengukuhkan kedudukan Go Auto sebagai hab kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan cekap tenaga (EEV) buatan China di Malaysia serta di rantau ASEAN.

 Ketua Pegawai Eksekutif Go Auto, Ahmad Azam Sulaiman berkata pelaburan besar yang disuntik menerusi pengumpulan dana dalaman, luaran dan pinjaman bank tempatan itu akan dilaksanakan secara berperingkat meliputi fasa kedua dan ketiga.

 Usaha itu katanya, jelas membuktikan komitmen syarikat yang serius untuk memantapkan jenama dan kedudukannya dalam pasaran automotif khususnya segmen SUV di rantau ini.

 “Mengikut perancangan awal, pelaburan besar itu untuk tempoh lima tahun sehingga 2020, tetapi disebabkan keadaan ekonomi semasa, kami anjakkan sehingga ke penghujung 2021”, katanya kepada media Malaysia di acara Pameran Automotif Shanghai 2017 (Auto Shanghai 2017) di sini, semalam.

 Mengulas lanjut, Ahmad Azam berkata, sehingga kini, Go Auto telah melabur sekitar RM60 juta hingga RM70 juta untuk kemudahan pengeluaran fasa 1 di Gurun, selain untuk tujuan memperkukuhkan jenama itu di Malaysia.

 Kilang fasa kedua yang membabitkan pelaburan RM250 juta pula dijangka beroperasi pada 2018 atau 2019 dan disusuli pembangunan fasa berikutnya.

 Malah, kilang fasa kedua itu akan menggandakan kapasiti pengeluaran kepada 50,000 unit setahun daripada 24,000 unit ketika ini selain akan membantu menyokong rancangan syarikat untuk menguasai pasaran SUV yang lebih besar.

 Katanya, menerusi kilang fasa ketiga pula, syarikat dijangka dapat menghasilkan kereta Haval dengan komponen dipertingkatkan selain usaha membangunkan enjin, komponen dan ujian kenderaan di kemudahan milik syarikat.

 Selain daripada pelaburan besar yang diperuntukkan, Go Auto yang telah dilantik oleh GWM sebagai pengeluar dan pengedar tunggal Haval SVU di Malaysia dan ASEAN, turut merancang membawa masuk 100 hingga 150 unit model SUV baharu Haval H6 Coupe dan Haval H9 dengan harganya dianggarkan bermula daripada RM115,000 dan RM140,000 seunit.

 Kedua-dua model ini adalah import sepenuhnya (CBU).

 Pada masa ini, Go Auto menawarkan dua model SUV iaitu Haval H1 (dahulunya dikenali sebagai M4) yang dijual pada harga mampu milik iaitu serendah RM54,950 seunit dan model H2 bermula RM89,950 seunit.

 “Ketika ini, kilang pengeluaran kami di Gurun menghasilkan model pemasangan tempatan iaitu H1 manakala model kedua H2 pula mulai bulan depan,” katanya Tahun ini, Go Auto turut menyasarkan sejumlah 3,000 unit untuk gabungan keduadua model Haval H1 dan Haval H2 bagi pasaran domestik dan eksport dan yakin sasaran itu dapat dicapai.

 Ahmad Azam berkata, bagi merealisasikan impian syarikat menjadi hab kenderaan SUV dan SUV EEV buatan China di rantau ASEAN, syarikat telah mengeksport kenderaan SUV ini ke Kemboja serta Brunei dan akan diperluaskan ke Batam (Indonesia), Vietnam dan Myanmar pada tahun ini.

 “Kami telah berunding dengan beberapa wakil Batam dan Jakarta dan akan mula mengeksport model Haval H1 dan Haval H2 ke Batam, Indonesia tahun ini.

 Besar kemungkinan kami akan memasarkannya ke Jakarta melalui Batam dalam masa terdekat ini,” katanya.

 Go Auto juga merancang memperluaskan sayapnya ke negara yang mempraktikkan pemanduan kiri seperti Laos, Vietnam dan Filipina.

 Dalam pada itu, Ahmad Azam turut berkongsi hasrat Singapura yang turut berminat dengan kenderaan syarikat itu.

 Malah, beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai menarik kerana kemasukan Haval ke Singapura akan menjadi satu tanda aras yang baik untuk jenama ini di ASEAN, sekali gus dapat melenyapkan persepsi negatif mengenai produk buatan China.

 “Apa yang membezakan SUV Haval dengan yang lain ialah ia merupakan kenderaan EEV.

 Tidak banyak kenderaan SUV bertaraf EEV kerana ia menjimatkan minyak,” jelas beliau.

 Go Auto, yang ditubuhkan pada 2013, mencatatkan sejarah dalam sektor automotif tempatan apabila menjadi syarikat pertama dianugerahkan lesen pembuatan kereta untuk kenderaan cekap tenaga oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di bawah Dasar Automotif Negara 2014.

 — Bernama

Advertisement