Anda di sini

Mahkamah Syariah denda dua lelaki Islam minum arak

Advertisement

BINTULU: Mahkamah Rendah Syariah Bintulu menjatuhkan hukuman denda ke atas dua lelaki beragama Islam di sini atas kesalahan minum minuman memabukkan semasa ditahan dalam operasi bersepadu pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bintulu dan Ibu Pejabat Kuching serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu 15 April lalu.

Kedua-dua tertuduh masing-masing dijatuhi hukuman denda RM1,700 daripada RM2,000 atau satu tahun penjara di bawah Seksyen 16(1) Ordinan Mahkamah Syariah. Kesalahan itu memperuntukkan denda maksimum RM3,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Wahabi Isenan dalam perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah di bangunan pejabat JAIS Bintulu kelmarin. Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Syarie dari JAIS, Anisah Amit.

Tertuduh pertama dalam perbicaraan mengaku salah dan insaf serta turut menjelas kepada mahkamah bahawa beliau sudah berkahwin dan ada tanggungan keluarga.

Manakala tertuduh kedua berstatus bujang turut mengaku salah dan bersetuju dengan fakta kes menjelaskan telah setahun minum minuman tersebut sejak 2016.

Terdahulu menurut fakta kes pada jam 10 malam 15 April lalu satu operasi bersepadu diketuai oleh pegawai penguat kuasa JAIS Bintulu, Ustaz Aswat Osen dengan bantuan pegawai penguat kuasa JAIS Bintulu dan Ibu Pejabat Kuching serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu, penguat kuasa Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah membuat pemeriksaan pada jam 10.25 malam di pusat hiburan dan karaoke di Taman Sri Dagang Bintulu.

Hasil pemeriksaan di premis terbabit mendapati tertuduh berusia 39 tahun berada di premis itu sedang duduk yang mana atas mejanya terdapat minuman memabukkan.

Keterangan yang diambil mendapati tertuduh sudah berkahwin, beragama Islam, bekerja membaiki kapal dan berasal dari Melaka itu mengaku ada minum minuman tersebut dan pada masa itu tertuduh duduk bersama tertuduh kedua brusia 18 tahun.

Tertuduh kedua pula mengaku belum sempat minum minuman tersebut semasa duduk dengan tertuduh pertama.Tertuduh kedua berstatus bujang, beragama Islam juga bekerja membaiki kapal dan berasal dari Melaka.

Advertisement