Anda di sini

Jumlah kes malaria di Sabah berkurangan

Advertisement

TELUPID: Jumlah kes malaria di Sabah sepanjang tahun lepas menunjukkan penurunan iaitu 748 kes berbanding 1,044 pada tahun sebelumnya.

Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata ia adalah satu pencapaian yang boleh dibanggakan kerana sebelum ini jumlah kes tidak pernah kurang daripada 1,000.

“Penurunan sebanyak 296 kes itu pada tahun lepas membolehkan jumlah kes malaria di Sabah kurang daripada 1,000,” katanya pada sambutan Hari Malaria Sedunia peringkat negeri di sini, semalam.

Sambutan itu dirasmikan Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Ronald yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, turut mengingatkan penduduk bahawa penurunan  itu bukan bererti usaha menghapuskan penyakit itu sudah semakin mudah.

Menurutnya, ini kerana kes yang dilaporkan sejak akhir-akhir ini adalah hasil interaksi mangsa dengan pelbagai faktor yang sukar ditangani.

“Statistik 2013 menunjukkan lebih daripada 80 peratus kes malaria di Sabah mendapat jangkitan di luar rumah iaitu ketika mangsa melakukan aktiviti-aktiviti di hutan.

“Antara aktiviti berisiko yang sering dilakukan adalah memburu, mencari hasil hutan, menoreh getah, pembukaan tanah baharu untuk perladangan dan pertanian,” katanya.

Beliau berkata aktiviti berisiko di luar rumah itu menyebabkan strategi kawalan vektor sedia ada iaitu menggunakan kelambu berubat dan semburan racun serangga pada dinding rumah kurang berkesan dalam mengawal penyakit malaria.

Ronald menegaskan usaha menangani penyakit itu tidak mampu dilakukan oleh Kementerian Kesihatan sahaja, malah memerlukan sokongan agensi berkaitan termasuk seluruh masyarakat. — Bernama

Advertisement