Anda di sini

IS akui serangan terbaharu di Paris

Advertisement
 Imej pegun daripada rakaman video menunjukkan penyiasat polis memeriksa kereta digunakan penyerang di Champs Elysees Avenue selepas seorang anggota polis terbunuh dan dua lagi cedera dalam insiden tembakan di Paris, Perancis kelmarin. — Gambar Reuters
MEMERIKSA BUKTI: Imej pegun daripada rakaman video menunjukkan penyiasat polis memeriksa kereta digunakan penyerang di Champs Elysees Avenue selepas seorang anggota polis terbunuh dan dua lagi cedera dalam insiden tembakan di Paris, Perancis kelmarin. — Gambar Reuters

PARIS: Seorang suspek keganasan yang dikenali menembak mati seorang anggota polis Perancis dan mencederakan dua lagi di Champs Elysees di Paris kelmarin dalam serangan yang diakui oleh militan Negara Islam (IS) beberapa hari menjelang pilihan raya presiden.

Pemerhati telah lama berasa bimbang bagi pertumpahan darah sebelum pilihan raya pada Ahad ini di Perancis selepas satu siri kekejaman sejak 2015 dan keganasan itu kemungkinan akan meletakkan isu keselamatan di depan dalam pemikiran pengundi.

Penembak melepaskan tembakan dengan sejenis senjata automatik ke arah sebuah van polis di dataran terkenal di dunia pada kira-kira jam 9 malam waktu tempatan, mendesak pelancong dan pelawat melarikan diri untuk menyelamatkan nyawa mereka.

Selepas membunuh anggota polis dan mencederakan rakan setugasnya hanya beberapa ratus meter dari Arc de Triomphe, lelaki bersenjata itu ditembak mati dalam tembakan balas ketika cuba untuk berlari meninggalkan tempat kejadian, sumber polis memberitahu AFP.

Satu kenyataan IS dikeluar-kan oleh agensi propaganda-nya Amaq berkata penyerang adalah “salah seorang anggota IS”.

Penembak itu, dikenal pasti sebagai seorang lelaki Perancis berusia 39 tahun, dikenali oleh polis antikeganasan, sumber memberitahu AFP, dan serbuan dilakukan di kediamannya di sebuah subbandar ke timur Paris.

Dia pernah ditangkap pada Februari kerana disyaki me-rancang untuk membunuh anggota polis namun dibebaskan kerana kekurangan bukti.

Dia disabitkan pada 2005 bagi tiga tuduhan cubaan membunuh, dengan dua daripada ini terhadap anggota polis, menurut sumber.

Impaknya ke atas keputusan pilihan raya Perancis adalah tidak jelas – Ahad ini merupakan pusingan pertama pilihan raya – namun ketua haluan kanan Marine Le Pen, lawannya daripada haluan tengah Emmanuel Macron, dan calon konservatif yang dilanda skandal Francois Fillon telah membatalkan acara kempen yang dirancangkan untuk semalam.

Setakat ini, tinjauan me-nunjukkan pengundi berasa semakin bimbang mengenai pengangguran dan kuasa perbelanjaan mereka berbanding dengan keganasan atau keselamatan, walaupun penganalisis memberi amaran ini akan berubah dalam kejadian keganasan.

Presiden Perancis Francois Hollande menjanjikan “keadaan berjaga-jaga sepenuhnya, terutama ketika proses pengundian” dan memberi penghormatan kepada polis.

Hollande, yang berkata beliau yakin kejadian tembakan adalah “tindakan keganasan”, telah membatalkan lawatan ke Bretagne dan akan mempengerusikan mesyuarat kabinet keselamatan semalam.

Calon antiimigrasi Le Pen pada mulanya menyambut baik kawalan keselamatan dipindahkan ke bahagian tengah kempen ketika beliau mengambil bahagian dalam satu rancangan temu bual masa utama di samping 10 calon presiden yang lain.

“Kami sedang berdepan dengan kesan akibat kekura-ngan yang telah berterusan sejak bertahun-tahun,” kata beliau sejurus selepas kejadian tembakan, berjanji akan bertindak tegas terhadap puak ekstremis dan sesiapa yang disyaki sebagai pengikut Islamis.

Selama beberapa minggu, bekas pegawai bank Macron dan Le Pen telah keluar berkempen namun tinjauan pendapat sekarang menun-jukkan terdapat peluang bahawa mana-mana daripada empat calon utama akan sampai ke peringkat pusingan kedua dalam pilihan raya pada 7 Mei.

Calon konservatif Fillon dan suara lantang haluan kiri Jean-Luc Melenchon telah menutup jurang yang ada sepanjang dua minggu lepas.

“Tanggungjawab pertama bagi presiden adalah untuk melindungi,” kata Macron dalam rancangan temu bual. “Ancaman ini akan menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kami pada tahun-tahun akan datang.”

Ketika maklumat pertama mengenai serangan telah disebar, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata “ia kelihatan seperti satu lagi serangan pengganas. Apa lagi yang kamu boleh katakan? Ia tidak akan pernah tamat.”

Timbalan Presiden AS Mike Pence memberitahu pemimpin perniagaan semasa satu kunjungan rasmi ke Indonesia bahawa serangan di Paris adalah “peringatan terbaharu bahawa keganasan boleh menyerang di mana-mana dan pada bila-bila masa.”

Champs Elysees yang sibuk terletak di tengah Paris dan ia dibarisi dengan kedai-kedai dan restoran. Ia telah se-gera dikepung oleh pasukan tentera bersenjata selepas serangan dan stesen metro berhampiran ditutup.

“Kami terpaksa menyembunyikan pelanggan kami di bilik bawah tanah,” Choukri Chouanine, pengurus di sebuah restoran berhampiran kawasan tembakan, memberitahu AFP, menyatakan terdapat “banyak tembak-menembak.”

Seorang jurucakap kementerian dalam negeri memberi penghormatan kepada polis yang pantas bertindak membunuh penyerang tersebut serta menghalang pertumpahan darah selanjutnya pada petang musim bunga yang sibuk.

Seorang pelancong asing mengalami kecederaan ringan pada lututnya akibat serpihan semasa kejadian tembakan.

Ribuan anggota tentera dan polis bersenjata telah dikerahkan untuk mengawal kawasan tumpuan pelancong seperti Champs Elysees atau sasaran lain yang berpo-tensi, termasuk bangunan kerajaan dan kawasan keagamaan. — AFP 

Advertisement