PERASMIAN Biro Wanita Rumah Panjang Nanga Bangkit di Spaoh, Betong berlangsung dalam suasana meriah pada 15 April lepas.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Biro Wanita perlu terlibat sepenuhnya dalam pendidikan anak-anak khususnya di rumah panjang untuk menganjak status sosioekonomi penduduk luar bandar.
Beliau mengarahkan semua pengerusi Biro Wanita di kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Saban agar membuat profil lengkap kanak-kanak yang masih bersekolah dan menghantarnya kepada jawatankuasa diketuai isterinya, Datin Amar Doreen Mayang.
Ia bertujuan merancang serta melaksanakan program pendidikan supaya anak-anak luar bandar juga boleh berjaya.
Selain pembangunan pendidikan anak-anak, Biro Wanita juga perlu melibatkan diri dalam bidang ekonomi.
Uggah menyarankan agar mereka merebut peluang dari setiap rancangan pembangunan negara dengan mewujudkan apa sahaja aktiviti ekonomi yang boleh menjamin pendapatan diri serta keluarga.
Mengenai penubuhan Biro Wanita di setiap rumah panjang, beliau berharap semua pihak berganding bahu memastikan unit itu mampu bergerak aktif dalam memacu pembangunan komuniti.
Selain daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Biro Wanita merupakan sebahagian entiti yang bertanggungjawab dalam menentukan maju mundurnya sesebuah kampung atau rumah panjang.