Anda di sini

Isteri Sabbaruddin Chik, Faridah Mohamed meninggal dunia

 Sabbaruddin Chik menyiram air di pusara isteri Puan Sri Faridah Mohamed selepas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara semalam. — Gambar Bernama
SELAMAT DIKEBUMIKAN: Sabbaruddin Chik menyiram air di pusara isteri Puan Sri Faridah Mohamed selepas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Puan Sri Faridah Mohamed, 74, isteri kepada Pengerusi Amanah Raya Berhad Tan Sri Sabbaruddin Chik, meninggal dunia pada jam 12.40 tengah malam kelmarin di sebuah hospital swasta di Damansara.

Perkara itu disahkan Sabbaruddin ketika ditemui pemberita di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara semalam.

Anak kedua arwah, Salina Sabbaruddin, 41, berkata ibunya menghidap penyakit aneurisma otak dan telah empat minggu dirawat di hospital berkenaan.

Antara pesanan terakhir ibu saya sebelum menghembus nafas terakhir ialah sentiasa kekal bersama sebagai satu keluarga, sentiasa jaga hubungan antara satu sama lain.

Ibu seorang yang penyayang dan amat mengambil berat terhadap kami semua dan sentiasa memberi sokongan kepada ayah dan keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita.

Jenazah disembahyangkan di masjid berkenaan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara petang semalam.

Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir pagi semalam ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, anggota keluarga dan rakan-rakan terdekat Allahyarham.

Allahyarham meninggalkan empat anak iaitu Fazlee, 43, Shahriza, 40, dan Suraya, 38, selain Salina. — Bernama