Anda di sini

Taktik juragan arah 20 penumpang baring di jongkong terbongkar

Advertisement

TAWAU: Taktik juragan mengarahkan 20 penumpangnya (pendatang asing tanpa izin - PATI) supaya berbaring di jongkong untuk diseludup masuk ke daerah ini, terbongkar apabila berjaya digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau. 

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau DSP Mohd Nazri Ibrahim berkata, kejayaan itu direkodkan di perairan Sungai Simandalan Wallace Bay, Pulau Sebatik, di sini, kira-kira jam 4.50 pagi Rabu. 

“Semasa Bot PSC 50 menjalankan tugas rondaan Ops Paradise/Op Bersepadu Laut dengan kekuatan empat anggota, kita mengesan sebuah jongkong mencurigakan dari arah Nunukan Indonesia menuju ke Kalabakan. 

“Pemeriksaan di dalam jongkong itu mendapati juragan, 25, yang beralamat di Sebatik Tawau membawa 20 penumpang dalam keadaan berbaring,” katanya di sini, kelmarin. 

Mohd Nazri berkata, pemeriksaan awal mendapati kesemua PATI terbabit tidak memiliki keterangan diri yang sah dan dibawa ke jeti Pangkalan PPM Tawau untuk tindakan lanjut. 

Turut dirampas, barangan milik juragan seperti jongkong, enjin bot Yamaha berkapasiti 40 kuasa kuda dan tangki petrol yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM20,000. 

“Penahanan kesemua suspek dan rampasan barang-barang ini dilakukan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta ATIPSOM 2007/2010),” katanya. 

Advertisement