Anda di sini

13 tokoh muda dilantik Duta Belia TN50

Advertisement

PUTRAJAYA: Sebanyak 13 tokoh belia daripada pelbagai latar belakang, kepakaran dan pencipta kejayaan dalam bidang masing-masing dipilih sebagai Duta Belia TN50. 

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata mereka dipilih bagi mendukung falsafah Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan membantu melakar masa depan negara berdasarkan kepakaran masing-masing. 

“Mereka akan menggalas amanah dan tanggungjawab untuk sama-sama mendampingi generasi muda melalui pelbagai cara atas kapasiti masing-masing sebagai mewakili kerajaan mendengar suara atau aspirasi golongan itu,” katanya dalam sidang media memperkenalkan duta berkenaan di kementerian itu di sini, semalam. 

Duta Belia TN50 antaranya ialah bekas ratu skuasy negara Sharon Wee Ee Lin,  Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Muammar Ghadafi Jamal Jamaluddin dan pakar pembedahan plastik yang juga bekas ratu gimnastik negara Dr Farrah Hani Imran. 

Tokoh lain ialah Naib Presiden Persatuan Penulis dan Ilustrator Buku Kanak-Kanak bagi Malaysia Sarah Joan Mokhtar; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Saora Industries Ganesh Muren; Pengasas Teach For Malaysia Dzameer Dzulkifli dan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Beyond Boundaries Dr Lutfi Fadil Lokman. 

Turut dinamakan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Centre for Research, Advisory and Technology (CREATE) Ng Yeen Seen; Ketua Pegawai Inspirasi Gemilang 4e Zhariff Afandi; pakar mamalia laut Dr Louisa Shohbini Ponnampalam; aktivis golongan orang kurang upaya Dr Aizan Sofia Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif Samudra Oil Services, Shahril Hamdan dan Ketua Pegawai Eksekutif BorderPass Faisal Ariff. 

Khairy berkata duta berkenaan diberi peluang mencipta dan menganjurkan pelbagai program TN50 mereka sendiri berdasarkan bidang kepakaran. 

“Seterusnya membantu menganalisis aspirasi-aspirasi yang diterima, kemudiannya dicanai agar suara golongan sasar itu menjadi lebih bermakna,”katanya. 

Digagaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, TN50 merupakan dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas 2020. 

Wee berkata pemilihannya sebagai Duta Belia TN50 membuktikan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan dan sumbangan atlet dan berazam menggunakan amanah ituuntuk memperkasa penglibatan generasi muda, khususnya golongan wanita dalamacara sukan. — Bernama 

Advertisement