Anda di sini

Jadi kes bunuh

DEV
DEV
SERIUS: Keratan laporan Utusan Borneo semalam 
yang memaparkan kejadian tersebut.

  Ada bukti bayi masih hidup sebelum dimasuk dalam kotak dan dibuang: Dev


 

KUCHING: Pelajar wanita yang ditahan susulan penemuan mayat bayi perempuan di tapak pembuangan sampah sebuah pangsapuri di Samajaya di sini kelmarin berdepan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Demikian menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Datuk Dev Kumar selepas pihak forensik menjumpai bukti menunjukkan bayi terbabit masih hidup semasa dimasukkan ke dalam kotak tersebut sebelum dibuang.

Bukti terkini yang diperolehi mendapati bayi perempuan yang baharu lahir terbabit didapati masih hidup semasa dimasukkan ke dalam kotak tersebut dan kemudian dibuang ke dalam tong sampah di pangsapuri Samajaya.

Dengan bukti ini, polis mengklasifikasi semula kes tersebut sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Terdahulu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

Suspek berusia 24 tahun itu direman selama tujuh hari sehingga 19 April ini dan kini dia masih mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS),” kata Dev.

Bayi terbabit ditemui di dalam sebuah kotak berwarna merah oleh seorang wanita, 36, iaitu tukang cuci di pangsapuri tersebut ketika hendak membuang sampah sekitar jam 10 pagi Selasa lepas.

Wanita tersebut yang terkejut melihat bayi berkenaan terus memaklumkan pihak pengurusan pangsapuri yang kemudian menghubungi pihak polis.

Anggota Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak juga dikerahkan ke tempat kejadian dan bayi terbabit disahkan tidak lagi bernyawa oleh pegawai perubatan dari HUS.

Bertindak atas maklumat, suspek yang merupakan pelajar tahun ketiga sebuah kolej berdekatan dan tinggal di pangsapuri tersebut berjaya ditahan kira-kira dua jam kemudian oleh anggota JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

Siasatan polis juga mendapati bayi malang itu dilahirkan sekitar jam 6.30 pagi di dalam  bilik mandi pada hari kejadian.