Anda di sini

Sabah di kedudukan kelima mengalami kepesatan pembangunan ekonomi

Advertisement
 Osman (tengah) menyampaikan sijil peserta terbaik Kursus Video Production, Motion Graphics dan Special Effects kepada salah seorang peserta kursus iaitu Redzwan Yasun. — Gambar Jabatan Penerangan
TAHNIAH: Osman (tengah) menyampaikan sijil peserta terbaik Kursus Video Production, Motion Graphics dan Special Effects kepada salah seorang peserta kursus iaitu Redzwan Yasun. — Gambar Jabatan Penerangan

KOTA KINABALU: Sabah berada dalam kedudukan negeri kelima di Malaysia yang mengalami kepesatan pembangunan ekonomi selepas Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sarawak dan Johor.

Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah Datuk Osman Jamal berkata, statistik itu menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi di Sabah mengalami peningkatan yang ketara.

Sejak 2010, nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah adalah sebanyak RM58.1 bilion dan selepas lima tahun kemudian, iaitu awal 2015, jumlah itu meningkat kepada RM70.4 bilion dengan pendapatan perkapita sebanyak RM19,734.

Pencapaian ini menunjukkan bahawa persepsi segelintir masyarakat yang mengatakan Sabah negeri termiskin adalah tidak tepat kerana negeri ini sentiasa mengalami peningkatan ekonomi setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sijil Kursus Video Production, Motion Graphics dan Special Effects anjuran UPEN di sini, Jumaat lepas.

Osman berkata tidak dinafikan bahawa Sabah masih berada di tangga ketiga termiskin mengikut bilangan populasi di negeri ini.

Namun katanya, kadar peratusan termiskin sepanjang lima tahun bermula 2009 menunjukkan penurunan iaitu dari 19.2 peratus menjadi  4.0 peratus pada 2014.

Ini menunjukkan kita mampu mengurangkan kadar kemiskinan dan mencapai kadar peratusan terendah iaitu bawah 1.0 peratus menjelang lima tahun akan datang,” katanya.

Tambah beliau, jumlah tenaga buruh dan pekerjaan di Sabah juga semakin meningkat iaitu sebanyak 1.7 juta jika dibandingkan dengan tenaga buruh yang masih menganggur iaitu seramai 93,215 pada 2015 dengan hanya 5 peratus.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan terus memperbanyakkan lagi pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini bagi mengurangkan kadar pengangguran.

Advertisement