Anda di sini

MPC saran ahli perniagaan sertai lawatan ke Jakarta

Advertisement
 Griffith (kanan) dan Jerry menunjukkan buku panduan Lawatan Sambil Belajar Amalan Terbaik Kecemerlangan Perniagaan ke Jakarta, Indonesia yang pertama kali dianjurkan MPC Wilayah Sarawak pada 15 hingga 20 Mei nanti.
PANDUAN: Griffith (kanan) dan Jerry menunjukkan buku panduan Lawatan Sambil Belajar Amalan Terbaik Kecemerlangan Perniagaan ke Jakarta, Indonesia yang pertama kali dianjurkan MPC Wilayah Sarawak pada 15 hingga 20 Mei nanti.

KUCHING: Ahli perniagaan termasuk organisasi swasta mahupun kerajaan khususnya di negeri ini disarankan untuk menyertai Lawatan Sambil Belajar Amalan Terbaik Kecemerlangan Perniagaan ke Jakarta, Indonesia yang pertama kali dianjurkan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sarawak pada 15 hingga 20 Mei nanti.

Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Sarawak Griffith Jones Goba berkata, penganjuran program tersebut adalah dengan kerjasama Syarikat Wahana Kendali Mutu, sebuah syarikat pengurusan kualiti dan konsultan di Jakarta yang ditubuhkan pada 1991.

“Tujuan program ini ialah untuk memberi peluang kepada pengamal kecemerlangan perniagaan untuk mendapatkan maklumat mengenai amalan terbaik yang diamalkan organisasi Indonesia.

“Pada masa sama, ia juga untuk para peserta bertukar- tukar pengetahuan dan kemahiran mengenai kecemerlangan perniagaan dan menggunakan rangka kerja kecemerlangan perniagaan dengan organisasi di Indonesia,” katanya pada sidang media di sini, semalam yang turut dihadiri Perunding Kanan MPC Jerry Shahnizal Ab Aziz.

Menurut Griffith, seramai 15 peserta disasarkan menyertai program tersebut dengan yuran RM7,287 seorang termasuk tiket penerbangan, penginapan, makan dan pengangkutan.

Justeru, katanya kepada yang berminat boleh menghubungi pengurus program Zuraini Subri di talian 082-439 959/ 439 960, faks 082-439 969 atau e-mel [email protected] dan [email protected].

Menjelas lanjut Griffith berkata, pemilihan Jakarta untuk program tersebut adalah kerana pelaksanaan kecemerlangan perniagaan di organisasi Indonesia lebih awal dari organisasi di Malaysia.

Selain itu, katanya jumlah organisasi di sana yang mengamalkan kecemerlangan perniagaan juga lebih meluas dan mempunyai sistem yang lebih sistematik untuk ditanda aras, budaya yang sama membolehkan perkongsian amalan terbaik dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta jarak perjalanan yang dekat.

“Pengisian program ini adalah merangkumi bengkel, sesi perkongsian dan lawatan tanda aras,” katanya.

Bagi lawatan tanda aras, beliau berkata ia melibatkan empat syarikat iaitu Telkom Indonesia yang merupakan satu-satunya syarikat telekomunikasi milik kerajaan Indonesia, mempunyai jenis perkhidmatan telekomunikasi iaitu talian wayar tetap dan sambungan tanpa wayar tetap, komunikasi mudah alih, perkhidmatan rangkaian internet dan komunikasi data perkhidmatan serta mempunyai empat anak syarikat iaitu Telekomunikasi Indonesia Selular (Telkomsel), PT. Telekomunikasi Indonesia International (Telin), PT. TELKOM Metra dan PT. Daya Mitra Telekomunikasi (Mitratel).

Selain itu, katanya ialah syarikat Jasamarga yang memainkan peranan merancang, membina, mengendali dan menyelenggara jalan serta tol di Indonesia, syarikat Krakatau Steel yang telah berkembang menjadi pengeluar keluli terbesar di Indonesia dan syarikat Port & Services yang menjadikan Pelabuhan Cigading sebagai pintu laluan utama kerana merupakan pelabuhan yang paling dalam di Indonesia serta mampu mengendalikan 12 juta tan kargo sehari.

  • oleh
  • Advertisement