Anda di sini

Memang milik Sarawak

Advertisement
 Abang Johari pada sidang media di Menara SEB di Kuching, semalam.
HAMPIR MUKTAMAD: Abang Johari pada sidang media di Menara SEB di Kuching, semalam.

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata pengambilalihan Empangan Hidroelektrik (HEP) Bakun daripada kerajaan pusat boleh dianggap sudah selesai.

Beliau berkata ketika ini butiran lanjut mengenai pengambilalihan HEP Bakun sedang diusahakan dan kerajaan negeri komited memastikan ia menjadi kenyataan.

“Selepas berusaha keras dan semuanya butiran selesai, kita akan mengambil alih HEP Bakun 100 peratus.

“Hakikatnya ia sudah dilakukan, cuma ia memerlukan usaha sewajarnya dan formaliti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Menara Sarawak Energy Berhad (SEB) di The Ithmus di sini seterusnya menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SEB dan Sarawak Forestry Corporation (SFC).

MoU itu bakal menyaksikan SEB menyediakan tenaga elektrik menerusi sistem solar berpusat di tapak pendaratan kedua penyu di Taman Negara Tanjung Datu, Pulau Talang-Talang Besar dan Pulau Talang-Talang Kechil dekat sini.

Abang Johari yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar dalam satu sidang media pada 8 Mac lalu memberitahu, kerajaan negeri telah mencapai persetujuan mengambil alih keseluruhan kepentingan ekuiti Sarawak Hidro Sdn Bhd (SHSB), pemilik serta operator HEP Bakun.

Beliau turut memberitahu bahawa syarikat milik penuh kerajaan negeri iaitu SEB akan mengambil alih HEP Bakun yang dianggarkan bernilai RM2.5 bilion.

Mengenai kritikan pembangkang mengenai harga pengambilalihan HEP Bakun iaitu RM2.5 bilion, Abang Johari berkata perkara itu akan diperjelaskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

“Saya tidak mahu berdebat (dengan pembangkang) dalam surat khabar. Saya akan memberi perincian (kepada pembangkang) serta manfaat bakal diperloleh daripada pembelian HEP Bakun.

“Persidangan DUN adalah forum terbaik kerana pembangkang boleh mengemukakan soalan kepada saya (berhubung pengambilalihan HEP Bakun),” katanya.

Dalam perkembangan sama, Abang Johari berkata kerja-kerja awal pembinaan HEP Baleh di Kapit sudah bermula dan pembinaan sebenar akan menyusul.

Pada sidang media sama beliau berkata SEB dalam usaha memantapkan ‘kebolehtahanan’ sistem pengagihan tenaga elektrik di negeri ini dan pada masa sama memastikan gangguan bekalan elektrik pada masa akan datang dapat dikurangkan.

“Mereka (SEB) melakukan yang terbaik untuk mengurangkan cabaran-cabaran di sepanjang sistem pengagihan tenaga elektrik terutama grid transmisi sering terjejas oleh hidupan liar sehingga menyebabkan berlakunya insiden terputus bekalan elektrik di negeri ini.

“Mereka ketika ini giat membetulkan masalah ini dengan memasang satu lagi grid transmisi sebagai sokongan kepada grid transmisi sedia ada 275kV,” jelasnya.

Abang Johari turut memberitahu pada sesi taklimat bersama SEB, beliau dimaklumkan mengenai perancangan syarikat itu memantapkan infrastruktur kuasa bagi memastikan keberkesanan penghantaran tenaga elektrik kepada pelanggan domestik serta ke Kalimantan, Indonesia.

“Saya meminta SEB menanda aras diri dengan negara jiran seperti Singapura dan dengan adanya bekalan elektrik seperti itu, saya berpendapat kita dapat menarik lebih banyak pelaburan berteknologi tinggi ke Sarawak kerana kita memiliki sumber tenaga yang boleh diperbaharui,” jelasnya.

Hadir sama Menteri Kemudahan Awam Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Muda Elektrik dan Telekomunikasi Dr Abdul Rahman Junaidi, Menteri Muda Bekalan Air Datuk Roland Sagah Wee Inn, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Pengerusi SEB Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SEB Sharbini Suhaili dan Ketua Pegawai Eksekutif SFC Wong Ting Chung.

  • oleh
  • Advertisement