Anda di sini

Terus promosi sukan permotoran air kepada golongan belia: Awla

Advertisement
 Naroden dan Awla merakam gambar kenangan ber sama Kelab Power Pump Boat Simunjan.
PROMOSI: Naroden dan Awla merakam gambar kenangan ber sama Kelab Power Pump Boat Simunjan.

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris berharap sukan permotoran air dapat terus diperkenalkan di negeri ini khususnya melibatkan golongan belia.

 Menurutnya, usaha itu boleh direalisasi dengan memasukkan sukan permotoran air dalam senarai acara yang dipertandingkan pada Regata Sarawak yang merupakan aktiviti tahunan.

 “Sukan air (permotoran) kini amat diminati golongan belia khususnya, adalah besar harapan kita agar sukan ini dapat dimasukkan dalam Regata Sarawak.

 “Ia sekali gus menarik minat para belia untuk melibatkan diri dalam sukan ini,” katanya selepas menghadiri majlis penyampaian hadiah sempena Karnival Sukan Gedong 2017.

 Awla yang juga Penaung Kelab Power Pump Boat Simunjan berkata, sukan permotoran air di negeri ini masih kurang penyertaan dan pendedahan.

 Justeru, beliau berharap pendedahan awal sukan air sedemikian dapat menarik minat masyarakat terutama golongan muda untuk melibatkan diri dalam sukan tersebut.

 “Apa yang penting, aspek keselamatan perlu dititikberatkan kerana perlumbaan ini melibat kuasa enjin tinggi,” katanya.

 Dalam pada itu, beliau turut bersama Menteri Muda Pembangunan Keusahawanan dan Menteri Muda Perancangan Sumber merangkap ADUN Gedong Datuk Mohd Naroden Majais menyampaikan hadiah kepada para pemenang perlumbaan bot dan Raja Sungai Gedong.

 Gelaran Raja Sungai Gedong dimenangi pasukan Madinah Race, manakala johan Power Pump Boat 13 HP dimenangi Izam Tazeli, sementara kategori 7HP pula disandang oleh Fauzi Bee.

Advertisement