Anda di sini

Skuad wanita perinci persiapan

Advertisement

Giat jalani latihan untuk menghadapi Kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah bulan depan

 Kelihatan para pemain wanita Sarawak sedang giat menjalani latihan sebelum bermulanya Kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah kali ke-30 di Miri bermula 6 April depan.
GIAT JALANI LATIHAN: Kelihatan para pemain wanita Sarawak sedang giat menjalani latihan sebelum bermulanya Kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah kali ke-30 di Miri bermula 6 April depan.

MIRI: Seramai 30 pemain skuad bola sepak wanita Sarawak kini dalam persiapan terakhir menghadapi Kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah kali ke-30 yang akan berlangsung di Miri bermula 6 April depan.

 Pasukan di bawah kendalian jurulatih Hakimi Man sedang giat menjalani latihan konsisten setiap hari iaitu pagi dan petang sejak 18 Mac lalu bagi mempersiapkan pemain wanita Sarawak.

 Hakimi memberitahu Utusan Borneo semalam seramai 30 pemain terbabit akan ditapis dan disaring semula dan hanya akan memilih 20 pemain yang berpotensi bagi menggalas tanggungjawab skuad Sarawak.

 “Kemungkinan kita akan membuat pemilihan terakhir pemain pada Jumaat ini (31 Mac) dan senarai 20 pemain yang akan mewakili skuad bola sepak wanita Sarawak akan diberitahu kelak,” katanya.

 Hakimi berkata, sasaran Sarawak untuk melangkah ke peringkat akhir boleh dicapai berdasarkan komitmen semua pihak termasuk sokongan moral kerajaan negeri dan pemain itu sendiri.

 “Pencapaian terbaik kita ialah berada di tempat keempat dan selaku tuan rumah kali ini, kita berusaha untuk merealisasikan impian Sarawak untuk melangkah ke perlawanan akhir,” jelasnya.

 Menurutnya lagi, pemain yang pernah mewakili Bintulu dalam Liga Bola Sepak Rakyat Wanita lalu turut berada dalam senarai pemilihan selepas menunjukkan prestasi cemerlang pada kejohanan itu.

 “Kesemua pemain ketika ini sedang bersaing sesama sendiri bagi berebut slot dalam senarai 20 pemain terakhir dan harapan kita pemain yang dipilih nanti mampu menggalas tanggungjawab dengan baik,” katanya.

 Selain menjalani latihan di padang, pemain juga diberi latihan kecergasan di gimnasium Miri di bawah kelolaan dan pemantaun pegawai Institut Sukan Negara (ISN) Miri, Sharil Ibrahim dan Cik Rachel.

 Sementara itu, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sebelum ini berharap skuad bola sepak wanita Sarawak mampu melakar sejarah melangkah ke peringkat akhir.

 Bahkan, katanya, Kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah adalah medan untuk memilih pemain-pemain wanita bagi menyertai skuad kebangsaan pada Sukan SEA Kuala Lumpur.

 Kejohanan yang menyingkap tirainya 6 hingga 18 April ini akan disertai 12 pasukan seluruh Malaysia dengan menjadikan Miri, Sarawak selaku tuan rumah.

  • oleh
  • Advertisement