Anda di sini

PBPHS cetus revolusi hoki Sarawak

Advertisement

Membawa visi mengembalikan era gemilang hoki negeri

 Aksi menarik pemain bawah 12 tahun  yang menyertai Pesta Hoki  Petra Jaya 9 Sebelah 2016.
BERPOTENSI: Aksi menarik pemain bawah 12 tahun yang menyertai Pesta Hoki Petra Jaya 9 Sebelah 2016.
 Aksi-aksi menarik pasukan lelaki dan wanita yang menyertai Pesta  Hoki Petra Jaya 2.0 2017  di Stadium Hoki Sarawak, Petra Jaya, baru-baru ini.
SENGIT: Aksi-aksi menarik pasukan lelaki dan wanita yang menyertai Pesta Hoki Petra Jaya 2.0 2017 di Stadium Hoki Sarawak, Petra Jaya, baru-baru ini.

HOKI antara sukan teras atau ‘core sport’ yang sentiasa diberikan keutamaan oleh kerajaan negeri Sarawak terutama dari aspek pembangunan infrastruktur.

Ini boleh dilihat melalui pembinaan dua padang hoki dengan fasiliti lengkap terletak di Petra Jaya dan sebuah lagi di SMK Paku, Bau.

Malangnya, sumbangan sukan itu tidak setimpal dengan pelaburan besar diberikan oleh kerajaan negeri apabila terus gagal menghadiahkan kejayaan di peringkat kebangsaan.

Selepas kejayaan merangkul emas dalam acara wanita pada SUKMA 2006 di Kedah, pencapaian skuad hoki Sarawak terus merudum.

Pada SUKMA 2016 di Sarawak, pencapaian skuad hoki lelaki dan wanita negeri sekali lagi menimbulkan rasa kecewa di benak peminat tempatan apabila gagal melepasi peringkat kumpulan.

Tambah memalukan apabila skuad hoki lelaki dibelasah teruk di hadapan penyokong sendiri dalam beberapa perlawanan.

Sebenarnya apa yang membelenggu hoki Sarawak turut dialami beberapa sukan lain di negeri ini iaitu kurang mendapat pendedahan.

Antara lain ia berpunca akibat kekangan kewangan untuk menghantar pasukan negeri menjalani latihan di luar secara kerap ditambah kurangnya penganjuran kejohanan hoki kompetitif di sini sebagai platform untuk pemain meningkatkan kualiti permainan mereka.

Menyedari hakikat tersebut, beberapa bekas pemain hoki Sarawak sepakat menubuhkan Persatuan Bekas Pemain Hoki Sarawak (PBPHS).

Ditubuhkan secara rasmi pada 2015, PBPHS yang diketuai Haidel Heli selaku presiden tampil dengan pendekatan tersendiri membawa matlamat mempopularkan semula hoki Sarawak dan memberi pendedahan melalui penganjuran pelbagai kejohanan untuk peminat sukan itu dan pelajar sekolah.

Sarawak pernah menjadi kuasa sukan hoki suatu ketika dulu. Malah, pasukan kita antara yang digeruni lawan setiap kali turun dalam padang.

Namun, senario itu sudah berubah sekarang. Hoki di Sarawak kian tenggelam dan kita sering menjadi pasukan belasahan terutama pada SUKMA.

Pada pemerhatian saya, keadaan ini berpunca akibat kurangnya pendedahan diperolehi pemain terutama yang baharu kerana mereka jarang mendapat peluang menyertai pertandingan kompetitif untuk mengasah bakat,” ujar Haidel.

Menurut beliau, sejak ditubuhkan persatuan tersebut telah menganjurkan pelbagai kejohanan seperti Pesta Hoki Petra Jaya, Pesta Hoki Bau, Liga Hoki Kuching, Jelajah Hoki Sarawak dan banyak lagi.

Katanya, aktiviti anjuran PBPHS bukan hanya memfokuskan di Kuching sahaja tetapi turut bergerak ke segenap pelosok luar bandar untuk memberi pendedahan terutama kepada pelajar seramai yang boleh.

PBPHS membawa dua matlamat, pertama untuk mempopularkan semula sukan hoki dalam kalangan masyarakat dan kedua memberi pendedahan kepada peminat hoki dan pelajar.

Usaha itu semakin menampakkan hasil apabila banyak pasukan hoki terutama yang berada di luar bandar kerap menyertai aktiviti anjuran PBPHS.

Malah, kita juga berjaya mencungkil ramai pelajar berbakat yang saya lihat boleh pergi dengan lebih jauh jika terus diberi pendedahan,” katanya lagi.

Bagaimanapun, usaha PBPHS tidak akan tercapai tanpa sokongan padu daripada semua pihak terutama kerajaan negeri.

Justeru, Haidel menyeru kepada kerajaan negeri untuk membina lebih banyak padang terutama di kawasan luar bandar bagi membolehkan pemain mendapat latihan dengan sempurna.

Saya percaya hoki masih mempunyai ramai peminat di Sarawak. Ini boleh dilihat dengan ramainya pasukan yang menyertai kejohanan baik anjuran PBPHS mahupun kelab hoki di bahagian lain.”

Beliau memberi contoh, kerana minat yang mendalam, Persatuan Hoki Warrior yang berpangkalan di Miri kerap menganjurkan pertandingan hoki di atas simen atau padang rumput biasa dan sambutannya sentiasa menggalakkan.

Visi PBPHS untuk melihat Sarawak kembali menjadi kuasa sukan hoki dalam beberapa tahun mendatang. Untuk itu, kita akan memperbanyakkan lagi penganjuran kejohanan untuk mencungkil lebih ramai bakat baharu,” katanya.

Haidel yang juga bekas pemain SUKMA juga bercadang untuk menghantar pasukan remaja menyertai pertandingan yang dianjurkan di Semenanjung Malaysia dari semasa ke semasa.

Usaha ini bukan mudah dan tidak akan menghasilkan keputusan baik dengan cepat. Namun saya percaya jika kita meneruskan program secara terancang, Sarawak akan kembali menjadi kuasa sukan ini,” tambah Haidel.

 Para peserta dan penganjur Pesta Hoki Bau 2017 merakamkan kenangan bersama selepas pertandingan berakhir.
SATU ALBUM: Para peserta dan penganjur Pesta Hoki Bau 2017 merakamkan kenangan bersama selepas pertandingan berakhir.
  • oleh
  • Advertisement