Anda di sini

Kerajaan tingkatkan profesionalisme pengerusi JKKK dan ketua kampung

Advertisement
 Ismail Sabri (dua kiri) menyampaikan baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada warga emas Jamaiah Tamin, 86, seorang daripada penerima BR1M Parlimen Bera di Bera, semalam. — Gambar Bernama
KERAJAAN PRIHATIN: Ismail Sabri (dua kiri) menyampaikan baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada warga emas Jamaiah Tamin, 86, seorang daripada penerima BR1M Parlimen Bera di Bera, semalam. — Gambar Bernama

BERA: Semua pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan ketua kampung bakal memiliki Sijil Tadbir Urus Desa dalam usaha kerajaan meningkatkan kelayakan profesional mereka.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kursus anjuran kementeriannya itu juga bertujuan untuk memastikan mereka yang terlibat dalam pentadbiran kampung, adalah setaraf dengan pegawai di jabatan kerajaan.

Ketika itu terdapat 16,500 pengerusi JKKK dan ketua kampung di seluruh negara dan kerajaan berusaha meningkatkan kelayakan mereka sehingga ke peringkat diploma.

Bagi peringkat awal ini, 6,500 pengerusi JKKK atau ketua kampung akan mengikuti kursus tiga hari untuk mendapatkan Sijil Tadbir Urus Desa yang dikeluarkan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Untuk pusingan kedua pula, kita beri pilihan kepada ketua kampung dan pengerusi JKKK ini mengikuti modul peringkat diploma dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian watikah pelantikan pengerusi JKKK di Dewan Majlis Daerah Bera di sini semalam yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan Datuk Mohd Fadzil Othman.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata Kursus Tadbir Urus Desa akan dijalankan secara berperingkat mengikut zon dengan melibatkan semua pengerusi JKKK dan ketua kampung seluruh negara.

Sehingga kini, katanya kursus itu telah dilaksanakan di Zon Tengah dan Selatan melibatkan Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Ia akan diikuti Zon Utara yang meliputi Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak seterusnya Zon Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan dengan modul yang diajar mencakupi semua bidang bersesuaian seperti pengurusan kampung, kewangan dan kepimpinan.

Sementara itu, dalam majlis berasingan, Ismail Sabri menyarankan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) membuka akauan bank bagi memudahkan kerajaan memasukkan terus bayaran ke dalam akaun mereka. — Bernama

Langkah itu juga, katanya akan menyenangkan penerima mengeluarkan wang pada bila-bila masa tanpa menunggu lama dan beratur di bank seperti yang dihadapi sesetengah warga emas pada masa kini. — Bernama

Bagi daerah Bera sendiri katanya, seramai 18,827 layak menerima BR1M melibatkan peruntukan RM16.762 juta dengan sebahagian besar daripada mereka telah menerimanya menerusi akauan bank. — Bernama

Advertisement