Anda di sini

H5N1: Telur dan ayam di pasaran selamat dimakan

Advertisement

Dikeluarkan di negeri yang bebas sepenuhnya H5N1

KUALA LUMPUR: Telur dan ayam pedaging di pasaran adalah dikeluarkan oleh pengusaha dan penternak di negeri yang bebas sepenuhnya daripada virus Highly Pathogenic Avian Influenza (H5N1), menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Sehubungan itu, telur dan daging ayam di pasaran adalah selamat dimakan, menurut JPV dalam kenyataan semalam.

Setakat ini juga tiada kes jangkitan virus itu dikesan dalam kalangan manusia,” katanya.

Pada 6 Mac lalu kes H5N1 dikesan di Kampung Pulau Tebu, Tunjong, Kota Bharu, Kelantan, apabila beberapa ekor ayam kampung yang mati, disahkan positif virus berkenaan.

Kerajaan negeri Kelantan kemudian mengisytiharkan wabak berkenaan sebagai bencana negeri berikutan wabak itu merebak di dua lagi jajahan iaitu Bachok dan Pasir Puteh.

Menurut JPV, unggas di negeri-negeri lain kekal bebas daripada virus itu dan berada dalam tahap kesiapsiagaan yang tinggi.

Semua negeri yang bebas sedang melakukan pemantauan (survelan) aktif serta kawalan pergerakan unggas di jalan masuk ke negeri masing-masing,” katanya.

Menurutnya, setakat semalam sebanyak 35 lokasi disahkan positif virus H5N1 di Kelantan termasuk satu lokasi baharu dikesan positif virus berkenaan iaitu di jajahan Bachok.

Secara keseluruhan 35 lokasi disahkan positif virus H5N1 di enam jajahan iaitu 15 lokasi di Kota Bharu, Pasir Mas (enam), Tumpat (empat), Tanah Merah (satu), Bachok (enam) dan Pasir Putih melibatkan 49 premis,” katanya.   

Menurut JPV, operasi pelupusan telah dijalankan di 24 lokasi dan masih diteruskan di lokasi lain melibatkan 54,285 ekor ternakan unggas dan 16,104 biji telur.

Pasukan petugas pelupusan digerakkan dengan segera untuk menangkap dan melupuskan kesemua unggas di dalam 1 kilometer radius dari setiap lokasi yang dikesan penyakit.

Ternakan unggas yang dilupuskan tidak bermaksud ternakan tersebut berpenyakit tetapi ia perlu dilupuskan bagi membentuk ‘buffer’ (penampan) bagi mengelak daripada merebak.

Pada masa yang sama, pasukan pemantauan aktif digerakkan di kawasan 1 hingga 10km radius dari setiap lokasi kejadian penyakit,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, langkah-langkah tambahan dikuatkuasakan termasuk pembasmian kuman di premis yang dijangkiti, kawalan pergerakan dan kuarantin zon jangkitan selama 42 hari.

Wabak ini sedang dikawal di dalam radius 30km dari lokasi Kampung Pulau Tebu yang melibatkan enam jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tumpat, Tanah Merah dan Bachok.

Keadaan adalah terkawal dan terhad kepada kawasan yang dijangkiti melibatkan ayam kampung dan penternak kecil-kecilan sahaja,” menurut JPV. — Bernama

Advertisement