Anda di sini

Aktivis prodemokrasi HK mulai diburu

Advertisement

Pergerakan Payung kini sasaran pendakwaan susulan pemilihan ketua eksekutif

 Wong (tiga kanan) menyertai para penunjuk perasaan yang berarak tanda protes ke lokasi pilihan raya ketua eksekutif di Hong Kong, kelmarin. — Gambar AFP
DIBURU: Wong (tiga kanan) menyertai para penunjuk perasaan yang berarak tanda protes ke lokasi pilihan raya ketua eksekutif di Hong Kong, kelmarin. — Gambar AFP

HONG KONG: Pihak polis membanteras aktivis prodemokrasi Hong Kong semalam dengan menyatakan mereka akan didakwa kerana menyertai bantahan beramai-ramai Pergerakan Payung, sehari selepas calon pro-Beijing dipilih sebagai pemimpin baharu bandar raya itu.

Carrie Lam dilantik sebagai ketua eksekutif baharu kelmarin oleh badan jawatankuasa yang didominasi pengundi pro-China, lantas berikrar akan menyatukan pemisahan.

Pilihan raya itu ditolak sebagai sesuatu yang memalukan penganjur kempen prodemokrasi dan menunjukkan Beijing memperketat genggamannya ke atas wilayah separuh autonomi Hong Kong dan menyatakan Lam tiada bezanya dengan pemimpin tidak popular sebelum ini Leung Chun-ying.

Kebimbangan meningkat semalam ketika pihak polis memaklumkan beberapa penganjur kempen terkenal yang terbabit dalam Pergerakan Payung 2014 bahawa mereka akan didakwa berhubung rali tersebut.

Bantahan tersebut menyaksikan puluhan ribu berkumpul di jalanan menyeru pilihan raya kepimpinan yang bebas sepenuhnya, namun gagal memenangi konsesi Beijing.

Anggota perundangan Parti Sivik Tanya Chan memberitahu, beliau menerima panggilan telefon daripada polis pada pagi Jumaat lepas yang memaklumkan beliau akan didakwa kerana menyebabkan kekecohan umum, dengan hukuman maksimum penjara tujuh tahun.

Mereka menyatakan ia ada kaitan dengan ‘penaklukan secara haram’ pada 2014,” kata beliau yang menyifatkannya sebagai ‘ciuman maut’ daripada Leung yang akan berundur Julai ini.

Chan menyatakan beliau segera ditangkap selepas bantahan tersebut namun tidak pernah didakwa.

Beliau melapor diri di balai polis petang semalam dan akan pergi ke mahkamah pada Khamis.

Aktivis Raphael Wong daripada Liga Demokrat Sosial memberitahu, beliau akan turut didakwa atas tuduhan gangguan umum dan mempersalahkan Leung.

Ketika Carrie Lam menyebut tentang perpaduan, mereka menyatakan anda tidak memerlukannya,” kata beliau.

Profesor Chan Kin-man, pengasas Occupy Central di Hong Kong, salah sebuah kumpulan yang mendalangi bantahan tersebut, turut menerima panggilan daripada pihak polis yang memaklumkan beliau mengenai satu dakwaan yang akan dibuat ke atasnya dan menyifatkan tindakan itu tidak masuk akal.

Ia menunjukkan kerajaan tidak berniat untuk membaiki perpecahan,” jelas Chan.

Media tempatan melaporkan pihak polis telah memaklumkan sembilan aktivis yang akan berdepan dakwaan.

Lam tidak memberikan respons secara langsung sama ada tindakan tersebut akan terus memisahkan Hong Kong.

Tindakan pendakwaan dibuat secara bebas oleh jabatan kehakiman,” beliau memberitahu wartawan.

Beliau mengulangi bahawa beliau inginkan perpaduan, namun menyatakan pendekatannya tidak seharusnya seiring dengan pelaksanaan undang-undang di Hong Kong.

Penganjur kempen prodemokrasi Joshua Wong, salah seorang pemimpin Pergerakan Payung, menyifatkan tindakan tersebut sebagai penindasan politik.

Beliau tidak tergolong dalam kalangan mereka yang menerima notis pendakwaan polis.

Wong, ahli perundangan Nathan Law dan bekas penunjuk perasaan pelajar Alex Chow kesemuanya disabitkan tahun lepas kerana terlibat atau menghasut orang lain untuk terlibat dalam bantahan anti-China yang membawa kepada beberapa rali besar.

Mereka dijatuhkan hukuman khidmat komuniti atau tertangguh. — AFP

Advertisement