Anda di sini

15 individu mengaku tidak salah jalankan perniagaan kiriman wang tanpa lesen

Advertisement
 Antara 15 individu termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru semalam atas 43 pertuduhan menjalankan perniagaan pengiriman wang tanpa lesen membabitkan nilai hampir RM1 bilion, sejak 2012. — Gambar Bernama
KE MUKA PENGADILAN: Antara 15 individu termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru semalam atas 43 pertuduhan menjalankan perniagaan pengiriman wang tanpa lesen membabitkan nilai hampir RM1 bilion, sejak 2012. — Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Seramai 15 individu termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 43 pertuduhan menjalankan perniagaan pengiriman wang tanpa lesen membabitkan nilai hampir RM1 bilion, sejak 2012.

Kesemua mereka yang terdiri daripada pemilik tunggal syarikat, pengarah dan rakan kongsi itu membuat pengakuan itu di kamar mahkamah berasingan.

Pertuduhan terhadap kesemua mereka dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun dan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim.

Tertuduh, Muhammad Razik Mohamad Riyaludin, 36, menghadapi 12 pertuduhan; Mohamed Thamimul Ansari, 41, (10 pertuduhan); Ter Leong Jenn, 40 (empat pertuduhan) dan Ramli Mohd Hassan, 59, (tiga pertuduhan).

Wong Shu Haw, 39; Noor Suhaily Harun, 27; dan Muhammad Azuwan Ismail, 22, pula menghadapi dua pertuduhan.

Jihad Dudden Shaikh Ali Khan, 26; Mohamed Ali Jinah, 54; Muhammad Faizul Mohd Haniffa, 23; Sutanto Sanarja, 49; Tan Kim Kee, 58; Tajuddeen N Abdul Rahim, 69; Ahmad Shah Mhd Shafie, 36; serta Naina Mohammad Abd Kadar, 41, masing-masing pula berdepan satu pertuduhan.

Berdasarkan fakta kes, kesemua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sekitar bandar raya ini dengan cara perkhidmatan memindahkan dana bagi pihak seseorang pengirim asal kepada penerima di dalam atau luar negara antara 2012 dan 2016.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Akta 731) yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Bank Negara Malaysia (BNM), Steve Chin Yun Cheong dan Alvin Ong Heng Kiat, manakala antara peguam yang mewakili tertuduh ialah Mahendran Mahason, Rosli Kamaruddin dan Shaikh Saleem SM Daud. — Bernama

Advertisement